Wednesday, May 20, 2015

RETORIK DAN GAYA BAHASA MELAYU KLASIK

Pada umumnya, bahasa merupakan satu daripada wahana perhubungan dan komunikasi antara manusia. Sebagai satu keperluan sosial, bahasa memang menjadi alat penting dalam soal menyampaikan maksud. Bahasa lazimnya diertikan sebagai satu sistem lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan oleh manusia sebagai alat untuk berhubung, manakala gaya bahasa pula bermaksud cara atau bentuk bahasa yang digunakan dalam pertuturan atau penulisan untuk menimbulkan kesan-kesan tertentu.

            Dalam konteks puisi, bahasa adalah alat yang digunakan oleh penyair untuk memindahkan pengalaman jiwa, iaitu pemikiran serta perasaannya ke dalam puisi. Bahasa dalam sesebuah puisi perlu juga memperlihatkan kehalusan, kesempurnaan dan kemuliaan pembentukan serta penyusunannya sebagai syarat-syarat keindahan bahasa sastera, khususnya puisi untuk menimbulkan kepelbagaian kesan kepada audien pembaca atau pendengarnya.

               Istilah gaya mempunyai banyak takrifan yang berlainan ungkapannya sehingga sering kali menimbulkan unsur ketaksaan. Secara keseluruhanya , takrif gaya ini boleh ditinjau dari segi konsepnya, iaitu dari segi konsep sastera dan dari segi konsep linguistik.

            Dari sudut sejarah, konsep gaya telah wujud sejak dahulu lagi dan ini berkaitan dengan zaman permulaan fikiran sastera di Eropah. Pada masa itu, gaya seperti ini berhubung rapat dengan retorik lama. Konsep gaya dari segi retorik lama ini melahirkan suatu cara berfikir yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Bahasa ialah pengzahiran buah fikiran, manakala gaya ialah potongan dan fesyen tertentu kepada bahasa tersebut.

            Definisi Gaya

            Bahasa melayu amat kaya dengan gaya. Maksud gaya bahasa yang diberikan oleh Za’ba ( 1962:71) ialah rupa susuk bahasa yang dipakai apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataanya, ikatan ayatnya, jalan bahasanya, cara susunan atau bentuk pembahasaan. Za’ba membahagikan gaya bahasa melayu kepada dua, iaitu gaya cakap mulut dan gaya surat. Kedua-dua gaya ini boleh disebut sebagai gaya melayu betul dan gaya bukan melayu. Gaya melayu betul ini merangkumi ungkapan  seperti sakit benar, sakit sangat, sakit berat, dan kuat sakitnya. Akan tetapi ,ungkapan seperti “banyak sakit” itu tidak termasuk dalam gaya melayu betul, sebaliknya ia merupakan gaya bukan melayu.

            Maksud gaya bahasa dijelaskan lagi oleh Nik Safiah Karim (1988) yang menganggap gaya sebagai cara mengungkapkan bahasa, iaitu cara bertutur, menulis dan seterusnya. Gaya bahasa lazimnya melibatkan aspek-aspek kesesuaian penggunaan perkataan, frasa, ayat, dan ungkapan tertentu.

            Watkin et.al (1865) pula menyebut: “Style is the manner of writing, the way the writer expresses his thoughts in language. Effective writing always involves the choice of words within sentences which basically express the same idea may seem vastle difference is usually due too style… The pattern and rhythm of your sentences should be varied, pleasing and appropriate to your subject matter and your own personality.”

            Oleh itu, gaya boleh saja berdasarkan kebolehan individu mengungkapkan kata-kata, berdasarkan masa (gaya lama, gaya klasik, dan gaya moden), medium atau bahasa pengantar (gaya Melayu, gaya Inggeris, dan gaya Arab), berdasarkan subjek atau bidang, misalnya falsafah, ilmiah, gaya popular atau pilihan dan gaya deduktif atau pengajaran dan seterusnya gaya berdasarkan tujuan.
              
Retorik dan gaya bahasa dalam karya agung.

            Gaya merupakan cara untuk menyatakan sesuatu yang lain daripada biasa tanpa kelainan makna. Gaya juga dikaitkan dengan keindahan yang boleh menyebabkan terhasil sesuatu karya yang indah. Keindahan yang mempunyai gaya biasanya dikaitkan dengan bahasa. Gaya bahasa yang indah mampu menarik para pembaca. Karya agung  merupakan antara karya sastera bahasa Melayu klasik yang banyak menggunakan unsur keindahan dalam pemakaian gaya bahasanya.

            Gaya bahasa ialah gaya seseorang penulis menggunakan bahasa. Dalam penulisan karya agung, gaya bahasa yang digunakan ialah gaya bahasa sastera yang mempunyai nilai estetik yang tinggi. Oleh itu pemakaian bahasanya bukan sahaja bertujuan menyampaikan idea dan maklumat tetapi penyampaian idea dan maklumat itu menimbulkan rasa keharuan, di samping meransang daya fikir dan akal pembaca.

               Jika diamati, bentuk karangan melayu dalam kebanyakkan karya agung sering digugat oleh bentuk karangan gaya kacukan, iaitu gaya karangan yang mengikut susuk atau cara pembahasan bahasa asing seperti bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Walaubagaimanapun, orang Melayu bijak dalam membezakan dua jenis gaya bahasa Melayu, iaitu gaya bahasa Melayu betul dan gaya bahasa kacukan. Mereka tidak menganggap bahawa kacukan sebagai bahasa yang salah bahkan menganggapnya sebagai sejenis gaya, iaitu gaya bahasa kacukan.

            Menurut Za’ba, banyak karangan melayu bentuk arab yang menurut kaedah jalan bahasa dan nahu arab. Hanya perkataannya sahaja merupakan perkataan Melayu, itupun kadang-kala bercampur baur dengan perkataan arab. Karangan Melayu dalam bentuk Arab ini kurang memberi kesan kepada orang Melayu yang tidak mengetahui bahasa Arab.

Ciri-ciri gaya bahasa dalam karya agung

Pendeta melayu Za’ba (1962:206) telah mengklasifikaskan ragam bahasa melayu kepada 15 jenis seperti yang berikut:

I)                 Bahasa sindiran

II)                Bahasa menggiat

III)              Bahasa mengejek

IV)              Bahasa terbalik

V)                Bahasa merajuk

VI)              Bahasa tempelak

VII)            Bahasa herdik

VIII)           Bahasa melampau

IX)             Bahasa naik

X)              Pertanyaan ingkar

GAYA BAHASA SINDIRAN

Penulis tidak langsung menyampaikan maksudnya dengan menyebutkan dengan tepat. Sebaliknya, ia mengqiaskan atau mengarahkan kepada hal2 yang lain.

            Contoh :

                         Buah langsat kuning mencelah,
                                   Keduduk tidak berbunga pagi,
                          Sudah dapat gading bertuah,
                                   Tanduk tidak berguna lagi.

(dalam pantun tersebut, seseorang menyindir sahabat atau kekasihnya kerana ia tidak lagi baik dan elok seperti sahabat atau kekasih yang baru)

Jatuh sebentuk didalam raga
Pecah ditimpa tudung peti
Maka tak mahu masuk berniaga
Seperti bukan lanang yang jati
(hikayat indera mangendera)

                Dalam pantun ini, raya indera manger disindir dan dikatakan bukan seorang lelaki oleh seorang tuan puteri yang mengajak masuk kedalam istana dan ia pula enggan berbuat demikian.

                Sebagaimana dalam contoh-contoh diatas, kita dapat melihat banyak contoh gaya bahasa sindiran daripada karya sastera melayu klasik seperti pantun, hikayat dan lain-lain. Bahasa melayu lama tidak menunjukkan sesuatu maksud secara lansung. Ini juga boleh disebut sebagai cirri bahasa melayu. Oleh itu, dapatlah difahami bahawa bahasa melayu sangat kaya dengan gaya dan sangat halus sifatnya.

 GAYA BAHASA MENGGIAT

Gaya bahasa menggiat ini tidak tepat dan seakan-akan sindiran. Akan tetapi ia tidak mengandungi kiasan. Maksudnya hanya sekadar mengusik. Kadang-kadang dengan tujuan untuk bergurau sahaja dan kadang-kadang bersungguh-sungguh sehingga boleh menyebabkan orang uang digiat berasa malu.

Contoh :

Tak tahukah tuan dia sudah pas darjah Sembilan disekolah orang putih?

(menggiat orang yang mengaku dirinya pandai dissebabkan sudah tamat darjah sembilan)

 GAYA BAHASA MENGEJEK

Bahasa mengejek ialah bahasa yang digunakan untuk mengata seseorang atau sesuatu kumpulan dengan perkataan yang tepat dan dengan gaya yang menunjukkan keburukan serta mempermain-mainkan supaya jelas kebodohan orang tersebut, atau supaya ia ditertawakan. Bahasa mengejek ini akan membangkitkan rasa marah dan sakit hati orang yang dikata itu.

Contoh :

pada hari-hari raya dan terkadang hari jumaat dikenakannyalah jubah kuningnya itu. mereka pergi ke masjid serta dengan serban kerasnya. Iaitu menunjukkan yang dia sudah haji-padahal kosong.

Contoh gaya bahasa mengejek diatas boleh menjadi gaya bahasa menggiat, jika disempitkan sedikit maksudnya dengan perkataan yang tepat.

 GAYA BAHASA TERBALIK

Bahasa terbalik ini ialah bahasa yang menggunakan perkataan yang berlawanan dengan maksud yang dikehendakidan maksudnya difahami dengan apa yang berlawanan daripada apa yang dikatakan itu.

Contoh :
Baik budi emak si rending
Dagang lalu ditanakkan
Tidak berkayu rumah diruntuh
Anak pulang kelaparan
Anak dipangku diletakkan
Kera dihutan disusui.
(seloka melayu)

 GAYA BAHASA MERAJUK

 Gaya bahasa merajuk ini adalah juga seperti bahasa terbalik,tetapi ia tidak membawa maksud seperti bahasa terbalik. Sebenarnya gaya bahasa ini menunjukkan perasaan menarik diri atau kecil hati oleh sebab sesuatu perbuatan yang dirasakan menghina dan tidak wajar.

Contoh :

sudahlah! Kita pun boleh cari sendiri. Ada nyawa adalah rezeki. Asal diikhtiarkan tak kan sungguh berharapkan harta orang.

GAYA BAHASA TEMPELAK

Gaya bahasa ini ialah gaya bahasa yang menunjukkan kesalahan seseorang dengan tepat setelah dilakukannya, supaya ia menyedari ketaksirannya sebelum bertindak, dan supaya ia beringat pada masa-masa yang akan datang.

Contoh :
waktu mewah harga getah dahulu, tak ingat, sekarang baru tahukan diri.

GAYA BAHASA HERDIK

Gaya bahasa ini juga sama dengan gaya bahasa tempelak. Tetapi tujuannya untuk menunjukkan kesalahan pada masa sekarang bukan pada masa yang silam dan ia kerap kali diucapkan dengan kasar serta mengandungi sedikit ejekan.

Contoh :

inilah orang muka tak malu! Hidup dengan minta sedekah sahaja, ke sana menadah ke sini menjilat!

GAYA BAHASA MELAMPAU

Gaya bahasa melampau ini ialah sejenis ragaman bahasa yang mengatakan sesuatu perkara itu sangat besar dan sebagainya dengan perkataan melebih-lebihkan sesuatu daripada yang sebenar. Semua orang yang mendengar faham bahawa yang dikatakan itu adalah tidak benar.

Contoh :

air setitik dilautkan, tanak sekepal digunungkan¡±(yakni perkara yang sedikir dijadikan besar atau dibahaskan panjang-panjang)

 GAYA BAHASA NAIK

Gaya bahasa naik ialah sejenis ragaman yang menguatkan tujuan kata dengan membawa gambaran fikiran yang beransur-ansur niak dari dataran yang kendur ke dataran yang semakin terik dan semakin tegang kepada pembaca. Gaya bahasa naik ini, membawa pendengar dari bawah selangkah demi selangkah hingga sampai ketengah dan dari tengah, selangkah demi selangkah pula hingga sampai keatas sekali.

Contoh :
sudahlah sekolahnya kerajaan membuatkan, gaji guru-gurunya pun kerajaan juga membayarkan, ya! Buku-buku sekolah pun kerajaan membelikan,-bukan itu sahaja, tetapi sehingga padang bola dan bola yang disepak itu pun daripada limpah kurnia kerajaan juga.

GAYA BAHASA PERTANYAAN INGKAR

Gaya pertanyaan ingkar ialah pembahasnya yang disusun dengan cara pertanyaan, tetapi bukan pula pertanyaan kerana todak mengetahui sesuatu hal. Maksudnya disini ialah pertanyaan seolah-olah mengejek yang bertujuan untuk menguatkan jawapan yang telah dimaklumi atau yang telah dipastikan.

Contoh :

Apakah gunanya kita telah dihantar hidup di dunia ini jikalau tiada tujuan yang lebih tinggi daripada mencari kesenangan, bersuka-suka, mengirakan faedah diri sendiri dan memasukkan segala kemahuan hawa nafsu sahaja?

Gaya bahasa lain

Terdapat beberapa ciri gaya bahasa lain dalam karya agung. Antaranya ialah pengunaan simile. Simile ialah perumpamaan. Perkataan simile berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud ‘seperti’. Simile merupakan perbandingan terus, iaitu membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan tetapi dengan sengaja kita menganggapnya sama. Simile ditandai dengan kata ‘seperti’, ‘laksana’, ‘bagai’, umpama’, ‘bak’, ‘sebagai’, ‘penaka’, ‘serupa’, ‘ibarat’ dan sebagainya.

            Gaya bahasa simile merupakan antara gaya bahasa yang banyak ditemui dalam karya agung. Simile digunakan untuk memperindahkan lagi bahasa perbandingan dalam sesuatu karya agung. Contohnya:

“Cahaya mukanya gilang-gemilang, seperti cahaya matahari”
                                       (Sejarah Melayu, hlm. 25)

“... seperti ular berbelit-belit lakunya”
             (A. Samad, Hikayat Amir Hamzah, hlm. 5)

“... seperti orang berkelahi dalam mimpi”
                                  (Hikayat Abdullah, hlm. 346)

“Dan lagi pula Yamtuan Besar jadi seperti perempuan sahaja, jika diberinya makan maka baharu makan ia”
                           (Salasilah Melayu-Bugis, hlm. 67)

“... seperti orang memacu kuda lakunya”
                            (Hikayat Amir Hamzah, hlm. 18)

Sumber:

Perkembangan Kaedah Tulisan Jawi: Analisa Beberapa Karya Raja Ali Haji 
http://www.syarifhade.com/index.php?option=com_content&view=article&id=133:bustan-al-katibin-kitab-tata-bahasa-melayu-pertama-karya-anak-negeri&catid=40:filologi&Itemid=37


Bahasa Melayu Klasik Hikayat Abdullah (2010). Diperolehi pada April 18, 2013 daripada http://abubakar69.blogspot.com/2010/01/bahasa-melayu-klasik-hikayat-abdullah.html

Unsur Keindahan Bahasa dalam Teks Hikayat (2010). Diperolehi pada April 17, 2013 daripada  http://jejakmihrabmimbar.wordpress.com/2010/02/19/869/

Chai Loon Guan (2010). Gaya Bahasa Dalam Puisi SN Datuk Dr. Usman Awang. Diperolehi
pada April 17, 2013 daripada http://chaimestm.blogspot.com/2010/08/gaya-bahasa-dalam-puisi-sn-datuk-dr.html

KONSEP KARYA AGUNG MELAYU

KONSEP & TAKRIF

Ø  KONSEP UMUM

Tamadun sesuatu bangsa merupakan warisan daya cipta bangsa itu yang dapat dikenali dan dipelajari berdasarkan karya-karya ulung para karyawan, seniman, pemikir, ahli falsafah dan ilmuwan bangsa itu sepanjang sejarahnya. Yang dimaksudkan dengan karya ulung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran ataupsyche dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya seperti itu. Takrif yang asas ini menjadi dasar untuk menghuraikan konsep dan ciri-ciri Karya Agung Melayu atau Dunia Melayu.

Ø  TAKRIF "DUNIA MELAYU" 

Dari segi geografi, Dunia Melayu dikatakan meliputi kawasan teras yang kadang-kadang disebut Nusantara atau Gugusan Pulau-pulau Melayu. Takrif yang agak jelas (walaupun masih boleh dibahaskan) ialah berdasarkan bahasa. Bahasa Melayu menjadi lingua franca di kawasan yang disebut “Dunia Melayu” itu sejak lama dahulu. Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang mampu merentas sempadan geografi dan sempadan etnik yang mentakrif atau mencirikan kawasan yang disebut Dunia Melayu itu. Bahasa Melayu menjadi alat utama yang digunakan sebagai wahana penghasilan karya persuratan yang penting dalam sejarah kawasan ini, kawasan yang terdiri daripada pelbagai bangsa atau kumpulan etnik, pelbagai agama, dan pelbagai bahasa. Istilah “Melayu” yang digunakan untuk menamakan kawasan luas yang disebut “Dunia Melayu” itu tidak merujuk kepada orang Melayu atau bangsa Melayu atau etnik Melayu atau kepada agama tetapi kepada bahasa Melayu, bahasa yang digunakan oleh penduduk pelbagai etnik dan pelbagai agama.

Kawasan induk Dunia Melayu meliputi negara Indonesia, Malaysia, Negara Brunei Darussalam, Singapura dan Patani hari ini, mewarisi sejarah budaya atau sejarah ketamadunan yang sama sejak kedatangan pengaruh asing dari India (lebih dua ribu tahun dahulu), hingga ke zaman pengislaman, dan sampai ke zaman penjajahan Barat pada abad ke-16.

Kesan daripada sejarah budaya atau proses ketamadunan yang panjang, berwarna-warni dan pelbagai aspek ini dapat dilihat dalam corak dan watak kesusasteraan tradisional di seluruh kawasan ini: kesusasteraan yang memperlihatkan kebijaksanaan kolektif penduduk peribumi dan pembina budayanya melakukan proses penerimaan, penyesuaian, dan penolakan budaya sehingga akhirnya tercerna suatu tradisi bersama yang mencirikan “jati diri” tamadun Dunia Melayu.

MAKSUD KARYA AGUNG

Ø  KARYA AGUNG MELAYU 

KARYA AGUNG ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita mengenal tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.

Karya Agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini.

Karya Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya itu. Dari segi ini sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di manakah daerah asalnya di Dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun.

Ø  KARYA AGUNG DUNIA MELAYU

KARYA AGUNG DUNIA MELAYU dimaksudkan kepada karya agung di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. Terdapat banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan sebagai karya agung, antaranya Nagarakertagama atau Serat Centhini yang ditulis dalam bahasa Jawa, atau I la Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis. Karya-karya yang seperti ini jika sesuai dengan takrif Yayasan, boleh diterima sebagai Karya Agung Dunia Melayu dan bolehlah dimasukkan ke dalam rancangan Yayasaan untuk dikaji, diperkenalkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu melalui terjemahan.


Rujukan:


Hassan Ahmad. (Ketua Ed.) , (2005). Pengenalan konsep dan gagasan karya agung. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan. 


Mustafa Mohd Ali (1999). Kajian Teks Melayu Klasik Terpilih. Selangor: Utusan Publication Sdn. Bhd

KARYA-KARYA AGUNG MELAYU


5 CONTOH KARYA AGUNG.

Banyak karya yang diiktirafkan sebagai karya agung mengikut takrifa dan konsepnya. Karya agung di bawah merupakan 5 contoh arya agung yang masyur di Tanah Melayu. Antara karya agungnya ialah:

Ø  HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI




·         Sejarah Pembukaan Negeri Pasai

            Asal usul pembukaan negeri pasai dikatakan bermula dari peristiwa di mana seorang raja pasai bernama merah silu yang ketika itu sedang berburu di dalam hutan bersama seekor anjing buruan yang bernama Si Pasai.Ketika sedag berburu,si Pasai menyalak kepada seekor pelanduk putih.Anjing Malikulsalleh itu dikejar oleh pelanduk yang disalakkannya.Anjingnya mati disitu lalu dikuburkan dan tempat itu dinamakan pasai Ia merupakan suatu kejadian yang pelik sehingga membuatkan para penasihat kagum dan mencadangkan kepada Malikulsalleh untuk mendirikan karajaan baru di sana.Itulah Kerajaan Pasai didirikan berdekatan dengan Lho Seumawe sekarang (Indonesia).Malikul Zahir iaitu anak kepada Malikulsalleh telah dinobatkan di Pasai. Ia mempunyai dua orang anak iaitu Sultan Malikul Mahmud dan Sultan Malikul Mansur. Ia meninggal ketika kedua orang anaknya itu masih kecil sehinggakan neneknya Malikul Salleh menguruskan soal pemerintahan bagi mereka. Sultan Malikul Mahmud diserahkan kepada Syed Ghiathud Din manakala Malikul Mansur diserahkan kepada Syed Semayamuddin. Setelah Malikul Mahmud akil baligh, ia dirajakan di Pasai dan syed Ghiatud Din dilantik menjadi Pendana Menteri. Harta perkakas seperti alat kerajaan, gajah ,kuda dan senjata dibahagi samarata kedua adik beradik 

            Samudera dan Pasai menjadi sangat makmur. Sultan Malikul Mahmud semakin lama, semakin besar kuasanya. Berita ini sampai ke pengetahuan Raja Siam yang telah mengirim angkatan lautnya untuk menyerang Pasai. Pasai  menjadi bertambah makmur apabila Sultan Malikul Mahmud menpunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki bernama Sultan Ahmad.
       
·         Sejarah Asal-Usul Raja

            Pasai merupakan negeri yang pertama dimasuki agama Islam.Terdapat dua orang bersaudara yang menjadi raja dodalam negeri itu.Mereka ialah Raja Ahmad dan Raja Muhammad.Ketika mereka pergi membuat negeri,Raja Muhammad menemui seorang anak perempuan yang keluar dari pohon Bambu lalu Baginda menamakannya Puteri Betong.Manakala Raja Ahmad telah menjumpai seorang anak lelaki yang bernama Merah Gajah .Ini kerana anak itu dijumpai semasa manaiki gajah.Kemudian Puteri Betong dan Merah Gajah dinikahkan.Hasil perkahwinan kedua-dua mereka lahirlah Merah Silau dan Merah Hasum.Disebabkan satu peristiwa,maka berlakulah penceraian antara Merah Gajah dan Puteri Betong.Raja Muhammad yang marah terhadap tindakan Merah Gajah lalu membunuhnya.Peristiwa pembunuhan Merah Gajah sampai ke pengetahuan Raja Ahmad lalu baginda melakukan serangan terhadap Raja Muhammad.Dalam pertempuran itu,raja Ahmad dan Raja Muhammad telah mangkat.Merah Silau dan adiknya Merah Hasum berhijrah ke arah barat lalu sampai di negeri Berawan dan menetap disana.

            Merah Silau membuat jala dan mencari gelang lalu memasaknya.Setelah itu gelang yang dimasaknya itu bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.Ini membuatkan merah Silau menjadi kaya-raya.disebabkan peristiwa ini timbullah salah faham antara abang dan adik.Merah Silu pergi mencari tempat yang baru dan sampai ke Hulu sungai Pasangan.Di sana ada negeri yang bernama Buloh Telang yang diperintah oleh megat Sekandar.Merah Silau sangat disukai orang disana sehingga menjadikan baginda sebagai raja.Ini menyebabkan berlaku peperangan dengan Sultan Malikul Nasir iaitu adik Megat Sekandar.

            Sultan Malikul Nasir dikalahkan berturut-turut oleh Merah Silau sehingga baginda terpaksa melarikan diri ke dalam Rimba yang bernama Rimba Pertama Terjun ,kemudiannya baginda melarikan diri ke Gunung Telawas dan disana baginda dikepung oleh Merah Silu.Tempat kepungan itu kemudiannya dinamakan kubu.kemudiannya baginda terus melarikan diri ke Pekersang,Kumat dan Barus.

·         Sejarah Mitos Kedatangan Agama Islam

            Nabi Muhammad pernah meramalkan bahawa dikemudian hari akan ada negeri Samudera,negeri bawah angin dan baginda telah memberi perintah kepada penganut-penganutnya supaya memperlengkapkan kapal serta membawa alat-alat kerajaan berlayar ke Samudra untuk menyerbarkan agama Islam.Nabi Muhammad juga berpesan bahawa akan ada seoprang fakir di negeri Menggiri yang harus mereka bawa beserta ke Samudera.     

            Pada malam hari merah Silu bermimpi bahawa baginda disuruh mengucap Syahadat tetapi baginda tidak boleh mengucapkannya.Kemudian mulutnya diludahi oleh seorang yang berhadapan dengannya dalam mimpi dan memberitahu kepadanya bahawa baginda akan diangkat menjadi sultan dengan nama Malikulsalleh serta menjadi seorang muslim.Baginda sudah pandai mengucap kalimah syahadat dan telah diberikan pengajaran mengenai beberapa soal Fiqih.Dalam mimpi tersebut,baginda diberitahu akan tiba sebuah kapal dalam masa 40 hari ke negeri tersebut.Menurut mimpinya lagi,perintah anak kapal itu harus diturutinya akhirnya orang yang berhadapan dengannya dalam mimpi itu memperkenalkan dirinya adalah Nabi Muhammad .     
     
            Merah Silu terus terjaga dari tidurnya terus boleh mengaji 30 juzuk Al-Quran.Ia menimbulkan kehairanan kepada orang yang mendengarnya.ini kerana perkataan yang diucapkan oleh Merah Silu tidak diketahui ertinya.Seperti yang dijanjikan,kapal dari Mekah tiba di Teluk Terali.Seorang fakir turun ke darat bertemu dengan seorang yang sedang berjala lalu menanyakan nama negeri dan rajanya.Nama raja dalam negeri itu adalah Merah Silu dan bergelar Sultan Malikulsalleh.Disebabkan Sultan Malikulsalleh sudah pandai mengucap syahadat dan mengaji Al Quran maka Syeikh Ismail mengajar penduduk Samudera mengucap Syahadat dan mengaji Al-Quran.Setelah penduduk samudera memelik agama Islam,Samudera diberi nama Darulsalam kerana telah masuk agama baru tanpa paksaan.    
   
            Kemudian setelah selesai mengislamkan penduduk Samudera,Syeikh Ismail kembali ke negerinya dengan membawa hadiah untuk syarif Mekah iaitu Ambar,kapur barus,gaharu,cendana,kemenyan,kelembak dan cengkih.Fakir Muhammad terus menetap di Samudera untuk memberi pengajaran mengenai agama islam kepada penduduk disitu.Ada satu golongan yang menolak uuntuk masuk Islam dan mereka berhijrah ke Sungai Pasangan.Oleh kerana itu,mereka diberi nama Gajo.
           
·         Sejarah Pembukaan Samudera

            Asal usul wujudnya Samudera berkait rapat dengan penemuan seekor semut sebesar seekor kucing.Pada suatu hari Merah Silu keluar berburu bersama-sama pengiringnya beserta seekor anjing bernama Si Pasai.Ketika Si Pasai menyalak di atas sebuah tanah tunggi,terdapat seekor semut sebesar kucing.Merah Silu menangkapnya dan memakan semut itu.Daripada peristiwa itu,tempat itu dijadikan negeri yang bernama Samudera yang bermaksud semut yang amat besar.          
                       
·         Sejarah pengislaman Raja Pasai.

            Sebelum Islam Sultan Malikulsalleh dikenali dengan nama Merah Silu.Ia bermula dengan sebuah kapal dari Makkah yang tiba di Samudera dan berlabuh di Teluk Teli.Seorang Syeikh dari Makkah yang bernama Syeikh Ismail beserta seorang fakir menghadap Sultan Malikullsalleh.Beliau meminta Sultan Malikulsalleh mengucap kalimah shahadah.

            Sultan Muhammad yang menyamar sebagai fakir memberi Al-Quran kepada Sultan Malikulsalleh untuk dibaca.Serentak itu,Syeikh Ismail mengislamkan semua rakyat di negeri Samudera.Semua rakyat negeri Pasai memeluk islam dengan sukarela dan negeri itu digelar negeri Darulsalam.Sultan Malikulsalleh ditabalkan oleh Syeikh Ismail sebagai Raja Samudera Darulsalam.Beberapa pembesar negeri yang memeluk islam ditukarkan namanya. Contohnya,Tun Seri Kaya digelar Sayid Ghiatuddin dan Baba Kaya digelar Sayin    Semayamuddin.Sultan memberi Fidyahambar,kapur, barus, gaharu, cendana, kemenyan, Kelembak, cengkih dan pala kira-kira seratus bahara kepada Syeikh Ismail yang ingin pulang ke Makkah.Sultan Muhammad yang menyamar menjadi fakir terus tinggal di negeri Samudera bagi menyebarkan agama Islam.
           
·         Sejarah Perluasan Kekuasaan Majapahit Di Pasai

            Ia bermula apabila Ratu Majapahit mendengar khabar bahawa anaknya mati di Pasai.Dengan rasa marah baginda memerintahkan askarnya menyerang negeri Pasai.Berlakulah pertempuran antara kerajaan Majapahit dan Pasai.Setelah sekian lama berperang,Pasai dikalahkan oleh Majapahit.Sultan Pasai pada ketika itu,Sultan Ahmad Perumudal Perumal lari ke Menduga yang jaraknya kira-kira 15 hari perjalanan dari Pasai.Tawanan perang dari Pasai dibawa balik ke Jawa.Ada diantara mereka yang terdiri daripada Alim Ulama.Kerajaan Pasai kalah kepada Majapahit disebabkan kekuatan bala tentera Majapahit yang hebat.Dalam perjalanan pulang selepas berperang Kerajaan Jambi dan Palembang berjaya ditawan oleh askar Majapahit.
           
            Patih Gajah Mada diperintahkan oleh Ratu Majapahit untuk menakluki negara-negara jiran.Semua negeri yang ditakluki membayar ufti kepada kerajaan Majapahit kecuali Periaman kerana negeri tersebut masih belum dtakluki oleh Majapahit.Dalam usaha kerajaan Majapahit untuk menakluki kerajaan Periaman,Ratu Majapahit mahu kerbaunya berlaga dengan kerbau dari Periaman.Antara syaratnya jika kerbau Majapahit mengalami kekalahan,orang jawa akan memakai kain mengikut cara perempuan tetapi jika kerbau Periaman mengalami kekalahan,negeri Periaman tertakluk dibawah kekuasaan Majapahit.

            Para pembesar Periaman iaitu Patih Suatang dan Patih Ketemenggungan membuat helah.Helah yang dibuat oleh mereka adalah dengan mencari anak kerbau yang masih menyusu.Anak kerbau itu dibiarkan tidak menyusu berhari-hari.Setelah sampai waktu perlagaan,anak kerbau Periaman yang tidak menyusu berhari-hari mengisap buah Pelir kerbau jantan Majapahit kerana lapar menginginkan susu.Dalam perlagaan itu,kerbau Majapahit kalah.Orang-orang Jawa diberi minuman di dalam buluh yang tajam semasa jamuan perpisahan.Mereka mati ditikam dengan buluh itu samasa minum.Selepas itu negeri Periaman bertukar nama menjadi Menangkabau yang diambil dari peristiwa perlagaan kerbau.
           
·         Unsur sejarah Lagenda

            Lagenda Sultan Malikulsalleh di dalam teks hikayat raja-raja Pasai ini memang dipercayai benar-benar wujud.Beliau merupakan Sultan yang pertama kerajaan Pasai yang mendirikan kerajaan dan memeluk Islam.Beliau diislamkan oleh Syeikh Ismail yang berasal dari Makkah.Baginda berusaha menjalankan dakwah Islamiah bagi memperkenalkan dan mengislamkan negeri-negeri jirannya di Nusantara.Bukti kewujudannya dibuktikan dengan adanya Makam Sultan Malikulsalleh yang menjadi tumpuan para Penziarah yang melawat Acheh.

TEMA HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI:

Hikayat Raja-Raja Pasai berkisar pada tema al-amr bi’l ma’ruf wa ‘l-nahy ‘an-munkar (melakukan kebaikan dengan meninggalkan kemungkaran). Bagi mempraktikkan konsep ini hendakklah jangan tamak keduniaan kerana dunia itu fana sifatnya, banyak daripada pekerjaan di dunia ini tidak memberi manfaat kepada kehidupan di akhirat dan jangan lalai daripada melakukan pekerjaan kebajikan dan meninggalkan pekerjaan kejahatan. Menyeru orang berbuat kebajikan dan melarang ornag daripada berbuat kejahatan.

PERSOALAN HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI:

      i.        Pembesar negeri hendaklah memelihara raja. Jangan menderhaka kepada raja. Hendaklah menjalankan pentadbiran menurut undang-undang islam kerana firman Tuhan dalam al-Quran ertinya “ Barang siapa tiada menghukumkan dengan barang hukum yang diturunkan oleh Allah, maka, bahawasanya mereka itu menjadi kafir” (hlm 25). Semua pekerjaan hendaklah bermuafakat kerana daripada muafakat itu akan mendapat pekerjaan.

    ii.                 Semua kerja hendaklah bersabarkerana daripada kesabaran itu akan mendapat berkat, tetapi Sultan Malikul Mansor tidak mengikut nasihat menterinya Sayid Semayamuddin. Akibatnya baginda dibuang oleh abangnya ke negeri Temiang dan Sayid Semayamuddin dibunuh. Sultan Malikul Mahmud tidak sabar, ia sanggup melakukan kekejaman terhadap adiknya sendiri, hanya kerana mengambil seorang gundik, akibatnya ia menangis tak berlagu, hidup merana kerana sesal tak berkesudahan. Akhirnya ia sakit dan mangkat.


Ø  BUSTAN AL KATIBIN


Bustan al-KatibinBustan al-Katibin merupakan sebuah karya paling awal tentang bahasa Melayu yang disusun oleh seorang ilmuwan dan budayawan Melayu ulung, Raja Ali Haji. Kitab ini selesai dikarang pada 15 September 1850. Raja Ali Haji menekankan bahawa perkara paling utama yang harus dipelajari oleh orang Melayu tentang bahasanya ialah ilmu yang terkandung di dalamnya, kerana bahasa padanya ialah alat dalam sistem pemikiran yang digunakan secara kreatif oleh manusia untuk mencapai ilmu yang benar tentang alam ciptaan Allah. Dengan mengikuti adab dan syarat menuntut ilmu, pembelajaran bahasa Melayu mampu melahirkan penutur yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mutlak dengan ilmu yang sahih dan benar.


TEMA BUSTAN AL-KATIBIN:

·         Bahasa dan tauhid

Raja Ali Haji sangat menekankan hubungan yang erat antara bahasa, akal dengan pengakuan adanya Allah SWT (tauhid). Bahasa sebagai alat untuk mengekspresikan diri, alat untuk berkomunikasi dan alat untuk integrasi. Pelajaran bahasa yang membebaskan manusia dari penciptanya, menjadikan bahasa itu digunakan sewenangnya.

PERSOALAN BUSTAN AL-KATIBIN:

  1. Kelebihan ilmu dan akal.
            “Adapun kelebihan akal itu seperti kata hukama husnu hilyah, ertinya akal itu sebaik-baik perhiasan. Dan lagi kata hukama al fadhlu bil aqli wal adabi la bil ahli wan nasabi, ertinya kelebihan itu (pada) akal dan adab dan tiada (bukan) sebab bangsa dan asal.”     (hlm 4)

2.   Hubungan ilmu dengan kalam (kalimat/ bahasa).

            “Adapun kelebihan ilmu wal kalam amat besar sehingganya mengata setengah hukama, segala pekerjaan pedang boleh diperbuat dengan qalam. Adapun pekerjaan-pekerjaan qalam tiada boleh diperbuat dengan pedang, maka ini ibarat yang terlebih sangat nyatanya. Dan beberapa ribu dan laksa pedang yang sudah terhunus, dengan seguris qalam jadi tersarung, terkadang jadi tertangkap dan terikat dengan pedang sekali.” (hlm 5)

       3.    Memelihara adab dan syarat menuntut ilmu.

            “Adapun syaratnya itu, iaitu antara nafsumu dengan dirimu sendiri. Adapun adabnya itu antaramu dan gurumu.” (hlm 5)


Ø  HIKAYAT HANG TUAH




SINOPSIS

Hikayat Hang Tuah: Dikarang sekitar tahun 1641-1736. Satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita, kebolehan, dan sikap hidup orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya & bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat bangga diri, keberanian, kepintaran dan budi bahasa halus, yang mendapat penghormatan dan pengiktirafan daripada bangsa dan kerajaan asing, yakni sumber hubungan luar ketamadunan Melayu pada zaman prapencerobohan Portugis di Melaka. Pengarang mengakhiri karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini : “Takkan Melayu hilang di dunia”.

      Hikayat Hang Tuah merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita. kebolehan, dan sikap hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah yang menerajui hikayat ini, mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat kesetiaan, keberanian, kepintaran dan budi bahasa yang halus. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15.

           Pada masa umurnya sepuluh tahun , Hang Tuah bersahabat karib dengan empat orang yang sebaya dengannya, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka bagaikan isi dengan kuku. Ketika belayar ke Pulau Tinggi, Hang Tuah dan sahabatnya telah membunuh segerombolan lanun lalu mereka diambil berkhidmat di bawah Sultan oleh Bendahara yang kagum akan kepahlawanan mereka pada usia yang begitu muda.

         Ketika Hang Tuah mengiringi Sultan ke Majapahit, beliau menyahut cabaran seorang pahlawan Jawa yang termahsyur dikenali sebagai Taming Sari dan berjaya memperoleh sebilah keris yang dinamakan “Taming Sari” sempena pemiliknya yang asal. Taming Sari merupakan seorang anak buah Empayar Majapahit yang telah dihadiahi dengan sebilah keris kuno yang dipercayai boleh menyebabkan pemiliknya kebal. Kemenangannya menyebabkan Hang Tuah dikurniai bukan sahaja keris ‘Taming Sari’ tetapi juga gelaran Laksamana dan sepersalinan pakaian oleh Seri Betara.

           Laksamana Hang Tuah telah menjadi orang kesayangan Sultan dan hal ini menimbulkan rasa iri hati dalam kalangan kerabat diraja termasuk Patih Karma Wijaya. Suatu tuduhan palsu telah dibuat terhadap Hang Tuah iaitu, beliau dituduh berzina dengan dayang Sultan, dan Hang Tuah serta-merta dijatuhi hukuman mati oleh Sultan yang murka tanpa sebarang usul periksa. Bagaimanapun, hukuman mati itu tidak dilaksanakan oleh Bendahara, dan Hang Tuah disembunyikan di Inderapura.

         Mempercayai bahawa Hang Tuah telah mati, Hang Jebat, melancarkan pemberontakan balas dendam terhadap Sultan Mansur Shah demi membela kematian sahabatnya di samping menyebabkan keadaan huru-hara dalam kalangan rakyat Melaka. Seterusnya, Sultan meninggalkan istana dan mengumumkan Hang Jebat sebagai penderhaka. Semua percubaan untuk membunuh Hang Jebat tidak berhasil. Sultan Mansur Shah berasa sesal akan hukuman mati yang telah dijatuhkan kepada Hang Tuah kerana Hang Tuah merupakan satu-satunya wira yang berupaya untuk membunuh Hang Jebat.

         Akhirnya, Bendahara membuka rahsianya dan memanggil Hang Tuah pulang daripada persembunyian. Hang Tuah telah diampuni oleh Sultan. Suatu perjuangan yang amat menyedihkan telah berlaku antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Selepas berlawan selama tujuh hari, Hang Tuah telah berjaya membunuh Hang Jebat dan mendapat keris Taming Sarinya semula. Jebat mengamuk selama 3 hari sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

         Kemudian, orang – orang Feringgi (Portugis) berjaya menawan Melaka dengan membedil     kota Melaka. Penggempuran ini telah dilakukan serentak dengan kedatangan dua angkatan laut dari Manila dan negara Feringgi. Para pahlawan Melaka pun menemukan kegagalan dan seterusnya berundur ke selatan. Di sini, mereka mendirikan sebuah kerajaan baharu yang dikenali sebagai Kerajaan Johor Lama.

        Maka, Hang Tuah terus menghilangkan diri dan beliau tidak pernah dilihat lagi. Berita tentang Laksamana Hang Tuah juga tidak kedengaran lagi tetapi beliau dipercayai masih hidup pada akhir hikayat ini. Hikayat ini diakhiri dengan semangat nasionalisme yang kekal sehingga hari ini, iaitu “Takkan Melayu Hilang di Dunia.” Hikayat Hang Tuah turut dikemukakan oleh Malaysia sebagai Warisan Dunia untuk dimasukkan ke dalam Daftar Ingatan Dunia - Memory of the World Register pada 2001.

TEMA DAN PERSOALAN HIKAYAT HANG TUAH

Tema Hikayat Hang Tuah mengenai Hang Tuah seorang pahlawan Melayu Melaka yang gagah perkasa. Kegagahan Hang Tuah dapat dilihat pada lahir dan batinnya. Dari segi lahir, Hang Tuah memang mempunyai sifat-sifat pahlawan Melayu sejati baik dari sikap dan akhlaknya. Dari segi batin juga Hang Tuah memiliki sifat-sifat perwira Melayu silam seperti memiliki ilmu batin yang berkaitan pertahanan diri untuk menewaskan musuh. Hang Tuah jug seorang pahlawan yang mempunyai prinsip iaitu taat setia kepada raja Melaka. Ia sentiasa berpegang teguh kepada prinsipnya itu.

          Daripada tema Hikayat Hang Tuah ini wujud berbagai-bagai persoalan. Hang Tuah ialah seorang pahlawan raja Melaka yang amat taat kepada rajanya. Ia sanggup masuk ke dalam telaga tahi menyelamatkan kuda anak raja. Ia sanggup masuk ke dalam kubur supaya dapat menceritakan kepada rajanya pengalaman seorang yang dikebumikan dan ia sanggup emmbunuh Hang Jebat sahabat karib yang dianggap saudaranya sendirikerana raja mahu ia berbuat demikian. Walaupun Hang Jebat menderhaka itu kerana membela kematiannya.sifatnya yang taat membuta tuli kepada raja Melaka itu telah dianggap oleh ramai pengkaji sebagai kelemahan Hang Tuah. Tetapi haruslah disedari, Hang Tuah taat kepada rajanya sahaja, kepada raja – raja lain Hang Tuah tidak taat. Hang Tuah mempermainkan Betara Majapahit , Hnag Tuah mempersendakan raja Inderapura, Hang Tuah menunjukkan makarnya kepada raja Terengganu. Pendeknya Hang Tuah tidak taat kepada semua raja Cuma taat kepada raja Melaka sahaja.

Ø  SEJARAH MELAYU





SINOPSIS

Sejarah Melayu lebih menceritakan mengenai asal usul raja Melayu serya menceritakan mengenai kerajaan Melayu hingga kedatangan Portugis. sejarah Melayu ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertama lebih kepada unsur mitos dan dogeng dan menceritakan mengenai asal-usul raja-raja dalam sesebuah negara, asal-usul negeri dan sebagainya. misalnya, mengisahkan asal-usul raja-raja melayu yang dikatakan berasal daripada keturunan Raja Iskandar Zul-Karnain.Sebermula, mengisahkan apabila perkahwinan antara Raja Suran yang masuk ke dalam laut dan mengahwini Puteri daripada negeri Bahsam yang bernama Puteri Mahtabul. Hasil perkahwinan mereka ini melahirkan tiga orang putera yang diberi nama Nila Utama, Nila Pahlawan dan juha Kerisyna Pandita. Ketiga-tiga putera ini telah turun ke Bukit Siguntang dengan penuh gemilang apabila mereka turun di sebuah kawasan sawah padi yang dimiliki oleh Wan Malini dan Wan Empuk. Wan Empuk dan Wan Malini telah berkahwin dengan Nila Pahlawan dan Kerisyna Pendita. Manakala, NIla Utama telah dikahwinkan dengan anak Demang Lebar Daun.

           Pembukaan negeri Singapura oleh Nila Utama juga banyak berunsurkan mitos misalnya penemuan binatang yang lalu dihadapan Demang Lebar Daun yang sungguh tangkas dan menjadikan nama binatang tersebut, iaitu singa. Maka dari nama Temasek berubah kepada nama Singapura. Cara pemerintahan raja-raja Melayu turut diceritakan dalam Sejarah Melayu yang lebih menceritakan mengenai kelima-lima pemerintah Singapura berdasarkan unsur-unsur lagenda yang berkait dengan kegagahan dan kekuatan. Raja Iskandar Syah telah diserang oleh orang Majapahit dan menyebabkan baginda terpaksa melarikan diri ke Melaka lalu membuka kerajaan Melaka.

         Terdapat juga pelbagai mitos mengenai pembukaan Samudera-Pasai yang berkaitan dengan penemuan seekor semut besar. Dalam penceritaan mengenai pembukaan Negeri Samudera-Pasai juga dikaitkan dengan kedatangan Islam ke Alam Melayu apabila Merah Silu yang bermimpi berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W dan mengajar Merah Silu mengucapkan dua kalimah syahadat. Selepas daripada peristiwa tersebut baginda Merah Silu telah menukarkan namanya kepada Sultan Malikul Salleh.

Sejarah Melayu juga mengisahkan tentang zaman kegemilangan dan zaman kejatuhan Melaka kedalam tangan Portugis apabila angkatan Peringgi yang diiringi oleh Alfonso d’albuquerque menyerang Melaka dan menyebabkan Sultan Mahmud yang memerintah Melaka pada ketika itu melarikan diri ke negeri Pahang. Maka pelantikan Tun Seri Lanang sebagai Bendahara Diraja oleh Sultan Abdullah Ma’ayah Syah untuk mencatat mengenai salasilah diraja itu maka terhasilnya catatan yang dikenali sebagai Sejarah  Melayu ataupun Sulalatus Salatin.

Sejarah Melayu juga mengisahkan tentang zaman kegemilangan dan zaman kejatuhan Melaka kedalam tangan Portugis apabila angkatan Peringgi yang diiringi oleh Alfonso d’albuquerque menyerang Melaka dan menyebabkan Sultan Mahmud yang memerintah Melaka pada ketika itu melarikan diri ke negeri Pahang. Maka pelantikan Tun Seri Lanang sebagai Bendahara Diraja oleh Sultan Abdullah Ma’ayah Syah untuk mencatat mengenai salasilah diraja itu maka terhasilnya catatan yang dikenali sebagai Sejarah  Melayu ataupun Sulalatus Salatin.

TEMA SEJARAH MELAYU

Sejarah melayu bertemakan kisah raja-raja melayu yang memerintah negeri-negeri Melayu dan segala adat istiadat yang menunjukkan satu tata cara pentadbiran menurur etika adat yang bersandarkan kepada ajaran islam.

PERSOALAN SEJARAH MELAYU

           Daripada tema diatas timbullah berbagai-bagai persoalan, antaranya mengisahkan cerita mengenai raja- raja Melayu terutama raja-raja Melaka. Merakamkan etika adapt istiadat raja-raja Melayu dan cerita-cerita tamsilan dan perumpamaan yang boleh dijadikan panduan kepada generasi Melayu yang terkemudian.K

          Kisah raja-raja Melayu khususnya kesultanan Melaka yang memerintah empayar Melaka menjadi tema dasar Sejarah Melayu. Melaka yang asalnya daripada sebuah ceruk yang terpencil telah menjadi sebuah negeri yang berkembang dengan pesat, yang berupaya menakluk Negara-negara lain, hingga menjadi sebuah mepayar besar di Nusantara.

           Raja-raja Melaka yang bijak itu menjalankan pentadbiran negeri bersama Bendahara dan Laksamana. Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah, Melaka muncu sebagai negara besar kerana wujudnya ikatan tiga serangkai yang sangat utuh. Tetapi, ikatan tiga serangkai itumenjadi longgar dan tidak berfungsi lagi pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah.


Ø  HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA





SINOPSIS

Hikayat Merong Mahawangsa tergolong dalam genre kesusasteraan sejarah Melayu tradisional dan tertulis dengan mematuhi struktur penulisan pensejarahan tradisional seperti yang dapat dikesan pada penulisan Hikayat Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sulalat al - Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Banjar dan pelbagai hasil penulisan sejarah tradisional Melayu yang lain.

        Hikayat ini mengambil judulnya daripada nama seorang raja yang berasal dari Rom yang dipercayai melahirkan dinasti Mahawangsa menjadi sumber keturunan raja-raja yang membuka negeri yang diberi nama Langkasuka yang kemudiannya lebih dikenali sebagai negeri Kedah Zamin Turan.

       Penulisan hikayat ini menggemblengkan ketiga-tiga unsur tempatan, unsur Hindu dan Islam dan ternyata cerita asal usul negeri Kedah ini dikarang selepas negeri itu memeluk agama Islam. Pengarangnya, seorang pujangga istana Kedah, amat setia pada struktur pensejarahan tradisional Melayu kerana memulakan ceritanya dengan mengemukaka asal usul rajanya, peristiwa yang menyebabkan raja itu memulakan pelayarannya, pembukaan negeri, jurai keturunan daripada raja yang pertama kepada yang terakhir (semasa penyalinan terakhir dilaksanakan), kisah pengislaman dan beberapa peristiwa yang ingin disampaikan oleh pengarang berkaitan sejarah negeri Kedah mengikut penilaian dan kacamata masyarakat sezaman.

           Walaupun tidak semua hasil penulisan sejarah tradisional ditulis berdasarkan ciri-ciri penulisan sejarah tetapi hanya sebahagian daripada ciri-ciri tersebut, Hikayat Merong Mahawangsa tertulis dengan berpandukan kelima-lima ciri penulisan sejarah yang memaparkan konsep sejarah masyarakat zaman silam.

      Bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya, sama ada bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh Islam. Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Raja Rom tetapi juga menjadi pembesar kepercayaannya. Dalam pelayaran menuju ke Negeri China, angkatan yang mengiringi Putera Raja Rom diserang dan dimusnahkan oleh geroda yang telah bersumpah di hadapan Nabi Allah Sulaiman bahawa ia akan menghalang Raja Rom daripada memperlihatkan kebesarannya dengan berbesan dengan Raja China. Sementara Putera Raja Rom dipertemukan dengan puteri China di Pulau Langkapuri melalui usaha geroda sendiri, Raja Merong Mahawangsa diterima sebagai Raja Langkasuka. Baginda hanya meninggalkan negeri itu kepada puteranya, Raja Merong Mahapudisat, setelah puteranya dewasa dan layak memerintah negeri. Raja Merong Mahadipusat memenuhi pesanan ayahandanya dengan mengarahkan putera sulungnya membuka negeri Siam; putera kedua membuka negeri Perak; anakandanya yang ketiga, seorang puteri membuka negeri Patani sementara putera yang bongsu tinggal bersamanya di Kedah dan menggantikan ayahandanya bila baginda mangkat dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa.

 TEMA DAN PERSOALAN

Hikayat ini menceritakan kisah peperangan batin untuk menentang segala macam kemungkaran yang dihadapi oleh manusia akibat daripada sikap sombong dan takbur menurut kehendak hawa nafsu dan tunduk kepada arahan dan hasutan iblis dan syaitan.

        Cerita pertama yang disajikan sebagai pembuka tirai adalah tentang burung geruda bercakap takbur yang berniat menghalang pekerjaan kebajikan. Burung geruda bangga dengan kekuatan fizikalnya, hebat dengan tindakannya dan menyangka dia dapat melakukan sehenddak hatinya kepada manusia yang bersifat lemah. Ia lupa bahawa Allah lebih berkuasa di alam maya ini. Akhirnya burung geruda kecundang kerana kesombongannya itu, ia dibuang ke laut Kalzum.

         Cerita kedua yang amat menarik dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini ialah Raja Bersiung. Cerita ini memaparkan peperangan batin dalam menentukan pekerjaan baik dan buruk yang dilakukan. Raja Bersiung sepatutnya insaf dan bertaubat apabila Menteri keempat memberitahunya perbuatannya meminum darah dan makan hati manusia itu suatu perbuatan yang zalim, tetapi teguran tersebut tidak diendahkan. Akibatnya ia menghadapi kesengsaraan dan kehinaan dalam pelariannya yang berkesudahan ia hilang ghaib dalam buluh betung.

       Cerita yang ketiga amat jelas memperlihatkan peperangan batn ialah kisah Syekh Abdullah Yamani bersama syaitan iblis yang merasuk dan menghasut manusia supaya melakukan kemungkaran kepada Allah. Iblis yang sifatnya memusuhi manusia itu telah menghasut manusia supaya berkelahi dan berbunuh-bunuhan. Hanya orang yang berwaspada sahaja dan sering membaca al-Quran, bersembahyang, berpuasa, menunaikan zakatdan berzikir sahaja dapat mengelakkan diri daripada hasutan dan pujukan syaitan.