1.0 PENGENALAN
Sastera tradisional merupakan jambatan yang menghubungkan
masyarakat moden dengan zaman silam. la ibarat jendela yang membenarkan
masyarakat kini menjenguk dan melihat ke
dalam kehidupan masyarakat zaman dulu. Khazanah sastera Melayu tradisional
sangat besar, sama ada yang telah terlepas dibawa ke merata tempat ke luar
negara khususnya Barat mahupun yang terkumpul sekarang di pusat-pusat tertentu
dalam dunia Melayu seperti di Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.
Sebelum menganalisis dengan lebih lanjut nilai yang terdapat dalam sesebuah
karya sastera tradisional sejarah, beberapa definisi istilah serta konsep yang
diguna pakai akan dijelaskan bagi menunjangi perincian analisis yang akan
digalurkan dalam tugasan ini.
1.1 Kesusasteraan Melayu Tradisional
Menurut
Arba’ie et al. (2008) menjelaskan sastera merupakan satu bidang seni kreatif di
mana bahasa adalah medium pengantarnya. Sastera ditandai dengan beberapa unsur
khusus yang mampu membentuk tamadun dan peradaban sesuatu masyarakat selain
memperlihatkan sikap dan pandangan pengarangnya.
Hashim Awang (1985) mentakrifkan bahawa kesusasteraan itu adalah
ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Ia mungkin dituturkan iaitu
disebut sastera lisan dan yang ditulis disebut sastera tulisan. Di samping itu,
sastera pula memiliki keindahan dalam aspek-aspek isi atau daya pengucapannya.
Harun
Mat Piah et. Al (2006) menyatakan bahawa perkataan ‘sastera’ berasal daripada
bahasa Sanskrit castra yang membawa maksud kitab suci. Kesusasteraan pula
membawa pengertian sebagai penghasilan sastera yang dinikmati atau disampaikan,
baik melalui tulisan dan pembacaan mahupun lisan dan pendengaran. Sastera
merupakan satu bidang seni kreatif yang medium pengantarnya adalah bahasa.
Sastera bermula dari tradisi lisan dan semakin berkembang mengikut peredaran
semasa.
1.2 Gurindam
Gurindam merupakan
salah satu bentuk kesusasteraan Melayu Tradisional berbentuk puisi
tradisiona/L. Puisi tradisional gurindam merupakan bentuk puisi yang berasal
dari Tamil, India Selatan (Suroso, 1999: 104).
Perkataan Gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit sebagai
'rangkap yang telah jadi bidalan. Md Ali Bachick (2003) mendefinisikan gurindam
sebagai sebuah wacana yang mengandungi kalimat-kalimat yang berirama. Isinya
berunsur nasihat dan bentuknya menyamai
bidalan. Pengkaji sastera tradisional berpendapat bahawa gurindam tidak
mempunyai bentuk atau skima rima yang tertentu atau tetap. Ia tidak mudah
dikenalpasti seperti pantun atau syair. Walaupun gurindam tidak tertentu atau
tidak tetap bentuknya tetapi dari segi bahasa terdapat ciri-ciri khusus. Bahasa
gurindam biasanya padat dan bernas. Isinya lebih menekankan nasihat, moral,
pengajaran atau kebenaran. Hal ini dipersetujui oleh Sutan Takdir Alisjahbana
dalam bukunya, Puisi Lama (1971). Beliau menulis: “Gurindam ialah nasihat,
pengajaran yang mengandungi kebenaran”.
Kepadatan serta kebenaran bahasa terletak pada pemilihan dan
penyusunan kata-katanya yang berhasil menimbulkan pengertian yang tepat dan
mendalam. Ini diperkuatkan lagi dengan penggunaan pengulangan pernyataan isi
atau pemikirannya. Dengan bahasa seperti inilah dapat dirasakan unsur-unsur
nasihat, pengajaran dan kebenaran secara jelas serta berkesan, unsur-unsur
tersebut disampaikan melalui penegasan bahawa manusia dan aspek kehidupannya
mempunyai kelebihan keistimewaan serta kemuliaan yang diasaskan oleh sikap,
bekerjasama dan mematuhi peraturan.
Gurindam dapat dilihat terbahagi kepada dua jenis, iaitu ada yang
terikat dan ada yang tidak terikat atau bebas. gurindam berbentuk terikat
terdiri daripada dua baris dan berima aa. Kedudukan atau peranan baris 1 itu
sebagai isyarat dan baris 2 sebagai jawab. Ini dapat diteliti dari gurindam yang
ditulis oleh Raja Ali Haji, iaitu Gurindam 12 yang mudah dilagukan ialah
gurindam dua baris terikat yang mempunyai rima dan sukukata yang hampir tetap
dalam sebaris. Kita boleh membaca gurindam dengan menggunakan irama Gurindam
Bangsawan atau irama Syair Versi Kedua
Menurut Ismail Hamid (1989), istilah gurindam berasal daripada bahasa
Sanskrit. Wakaupun berasal daripada bahasa asing, tetapi dalam perkembangan
puisi Melayu, gurindam yang berkembang dalam tradisi lisan Melayu mempunyai
bentuknya yang tersendiri dan kelainan dengan gurindam dalam bahassa Sanskrit.
Menurut Raja Ali Haji, “…adapun gurindam itu, iaitu perkataan yang bersajak
akhir pasangannya, tetapi sempurna perkataanya dengan satu pasangannya sahaja, jadilah seperti sajak yang pertama itu
syarat dan sajak yang kedua itu jadi seperti jawab” (Sutan Takdir
Alisjahbana, 1954)
Berdasarlkan
definisi yang diberikan oleh Raja Ali Haji, Sutan Takdir Alisahbana (1954)
menjelaskan pembentukkan gurindam yang biasanya terjadi daripada sebuah kalimat
majmuk, yang dibahagi menjadi dua baris yang bersajak. Tiap-tiaop baris itu
ialah sebuah kalimat, dan perhubungan antara dua buah kalimat itu biasanya
ialah perhubungan antara anak kalimat dengan induk kalimat. Jumlah suku (suku
kata) tiap-tiap baris itu tidak ditentukan. Demikian juga rimanya tiada tetap.
Definisi
yang diberi oleh Raja Ali Haji dan Sutan Takdir Alisjahbana ini hanya menyentuh
bentuk sahaja. Menurut Za’ba (1962) gurindam merupakan puisi yang tidak
mengandung sukatan yang tetap. Puisi ini mengandung fikiran yang bernas dan
digubahkan dalam bahasa yang indah untuk dinyayikan bagi tujuan hiburan.
Sebelum
itu, dalam Pelita bahasa Melayu
penggal III (1957), Za’ba pernah mengatakan bahawa,
“gurindam dan seloka lebih kurang sama, iaitu satu jenis syair meleret yang
tidak teratur, berangkap-rangkap dan tiada tetap sukatnya, timbangannya dan
sajaknya. maka, Jika ada pun perbezaanya antara dua itu ialah pada keadaan
isinya dan bahasanya sahaja iaitu:
a. Gurindam
bahasanya selalu padat dan bernas, dan isinya lebih cenderung kepada
riang dan sukacita sebagai nyanyian, jenaka, senda gurau, kelakar, dan sindiran
giat yang bermain-main dan
menggeli-gelikan hati. Yang demikian menunjukkan ada kesempatan boleh
melengah-lengahkan masa dan menyuka-nyukakan hati.
b.
Seloka bahasanya kerap kali meleret dan lanjut, dan sindir giatnya selalu tajam
dan bias seperti mengejek, dan selain daripada itu boleh juga isinya
mengandungi perasaan-perasaan hiba-rawan, sedih-sayu,
asyik-berahi, khayal, mimpi dan angan-angan. Yang demikian menunjukkan ada
kesempatan pula boleh melengah-lengahkan masa dengan perkara-perkara seperti
itu.
Menurut Mohd. Taib Osman (1979), huraian Za’ba seperti di atas telaj meluaskan
lagi struktur gurindam dan seloka daripada yang diberikan oleh Sutan Takdir
Alisjahbana ataupun Raja Ali Haji. Harun Mat Piah (1989), kemudiannya
menjelaskan lagi definisi gurindam berdasarkan bentuknya, iaitu sejenis puisi
Melayu lama yang tidak tentu bentuknya sama ada terikat atau tidak. Bentuk yang
terikat terdiri daripada dua baris serangkap dan mengandungi tiga hingga
enam patah perkataan dalam sebaris dengan rimanya a, a. Biasanya beberapa
rangkap gurindam diperlukan untuk melengkapkan satu keseluruhan idea.
Seperti seloka, gurindam bukanlah puisi yang lumrah digunakan oleh masyarakat
Melayu. Bentuk ini lebih formal penggunaanya. Puisi ini mungkin digunakan dalam
majlis-majlis tertentu. Oleh itu, sangat sukar untuk mencari contoh gurindam
kecuali yang wujud dalam bentuk tulisan iaitu “Gurindam Dua Belas” yang
dihasilkan oleh Raja Ali Haji.
Berdasarkan isinya, gurindam
dapatlah dianggap sebagai puisi yang digunakan untuk tujuan pendidikan dan
huburan. Selain itu, gurindam juga berfungsi sebagai dokumentasi gambaran
masyarakat yang dapat memancarkan kreativiti dan estetika serta dayaintelektual
masyarakat Melayu lama dalam menangani hal kehidupan mereka. Gurindam juga
dapat dijadikan media komunikasi antara ahli masyarakat, terutama dalam
majlis-majlis yang formal.
1.2.1 Gurindam 12
Puisi
ini merupakan puisi Raja Ali Haji yang sangat terkenal dan masa ini ia
digunakan sebagai salah satu antologi puisi yang terkandung dalam Antologi Puisi dan Cerpen Harga Remaja yang
menjadi teks Komponen Sastera (KOMSAS) dalam pengajaran dan pembelajaran bagi
pelajar tingkatan empat. Hal ini
demikian kerana, bait-bait puisi ini sarat dengan unsur nasihat yang sangat
berguna kepada masyarakat. Gurindam ini
diberi namaGurindam Dua Belas kerana ia mengandungi dua belas fasal dan juga
dua belas rangkap yang mana setiap satu fasal terkandung dalam satu rangkap
gurindam.
Sebelum memulakan penulisan puisi
ini, beliau terlebih dahulu menulis serba sedikit berkenaan puisi seperti kata
aluan yang mengandungi tarikh gurindam ditulis, pengarang serta kebaikan yang
boleh diperoleh daripada gurindam ini iaitu:
“Amma ba’du daripada itu, maka
tatkala sampai Hijratu’l-Nabi 1263, sanat, kepada dua puluh hari tiga, bulan
Rajab hari Selasa maka diilhamkan Allah Taala kepada kita iaitu Raja Ali Haji,
mengarang satu gurindam cara Melayu iaitu yang boleh juga jadi diambil faedah sedikit-sedikit
daripada perkataannya itu pada orang yang ada menaruh akal, maka adalah
banyaknya gurindam itu dua belas fasal di dalamnya”
(Drs. Shalleh Saidi, 1969)
Berdasarkan kepada pernyatan di
atas, didapati bahawa gurindam ini telah ditulis pada 23 Rejab 1263 H iaitu
pada hari Selasa dan telah dikarang oleh Raja Ali Haji. Menurut pernyataan di atas lagi, gurindam ini
mengandungi 12 fasal.Melalui gurindam ini, beliau memberikan definisi perkataan
‘gurindam’ adalah berbeza dengan syair kerana syair tidak memiliki jawapan,
sebaliknya gurindam terdiri daripada soalan dan jawapan.Seperti yang
diterangkan, baris kedua gurindam ialah jawapan, manakala baris pertama pula
merupakan soalan kepada jawapan tersebut.
Setiap puisi terdiri daripada beberapa
ciri yang tersendiri.Begitu juga dengan gurindam ini.Gurindam Dua Belas terdiri
daripada rima akhir aa dan setiap rangkap hanya terdiri daripada dua baris
sahaja. Daripada aspek bilangan
perkataan pula, setiap baris dalam gurindam ini hanya terdiri daripada dua
hingga enam perkataan dan dalam gurindam ini juga banyak mengandungi perkataan
bahasa Arab seperti perkataan ‘makrifat’.Selain itu, beliau juga menulis
gurindam ini seolah-olah pembaca memahami perkara yang ingin
disampaikan.Sebagai contoh, beliau menulis, “Barang siapa mengenal yang empat”
tetapi beliau tidak memberikan penerangan berkenaan empat perkara yang hendak
disebutkan itu.
Nasihat yang ingin disampaikan
melalui gurindam ini ialah berkenaan hal-hal keagamaan.Keseluruhan fasal yang
terkandung dalam gurindam ini menasihati masyarakat agar taat dengan perintah
Allah dan meninggalkan larangan-Nya.Sebagai contoh, melalui fasal 1, Raja Ali
Haji menerangkan bahawa individu yang sangat taat dan patuh kepada agama
dianggap berjaya dalam kehidupan di dunia berbanding manusia yang tidak taat.
Fasal 2 pula membicarakan berkenaan rukun Islam yang pertama iaitu berkenaan
solat. Seperti yang kita sedia maklum, solat merupakan tiang kepada agama
Islam. Oleh hal yang demikian, dalam
gurindam ini, beliau menyatakan bahawa individu yang meninggalkan solat sama
seperti rumah yang tidak bertiang.
Selain isu keagamaan, gurindam ini juga mengandungi nasihat yang meminta
agar setiap individu memelihara tingkah laku agar berkelakuan senonoh dan ada juga
nasihat beliau yang mempunyai kaitan dengan pergaulan dalam kehidupan
bermasyarakat iaitu pada fasal keenam dan ketujuh.
1.3 Falsafah Dan Pemikiran
1.3.1 Falsafah
Menurut
Prof. Dr. Awang Sariyan dalam bukunya yang bertajuk Falsafah dan Logikal Melayu (2007) dari sudut etimologi, perkataan
falsafah berasal daripada perkataan Yunani atau Greek yang mana philo bermaksud cinta dan Sophia bermaksud hikmah. Falsafah dapat
diertikan sebagai hasrat atau keinginan yang bersungguh- sungguh untuk
mendapatkan kebenaran yang sejati serta menghayati kebenaran tersebut. Menurut
Dr. Hashim bin haji Musa dalam bukunya yang bertajuk Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu (2001 falsafah boleh
ditakrifkan sebagai satu penyelidikan/ pengajian dan ilmu yang berasaskan
renungan (reflective) dan pentaakulan
(reasoning) untuk merumuskan sifat,
hakikat dan kandungan alam wujud atau alam semesta dilihat secara keseluruhan
sebagai satu kesatuan, berdasarkan penelitian dan pengkajian terhadap data dan
fakta yang diambil daripada semua aspek alam wujud/ semesta. Mengikut Kamus
Dewan Edisi Keempat, falsafah dapat ditakrifkan sebagai pengetahuan tentang
pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tinggi yang menjadi dasar ilmu- ilmu
lain. Erti falsafah dari sudut praktis pula ialah alam berfikif atau fikiran
secara mendalam tentang hakikat segala sesuatu.
1.3.2 Pemikiran
Pemikiran
merupakan sesuatu yang penting dalam karya agung. Hal ini kerana, dengan adanya
pemikiran , idea juga turut dilahirkan. Seterusnya idea yang terlahir tersebut
dimatangkan oleh pengarang menjadi subjek dan akhirnya menjadi buah fikiran
yang bernas, signifikan dan berkualiti. Pemikiran berasal daripada otak kita.
Menurut teori Roger Sperry otak manusia menggunakan bahagian kirinya berfikir
secara kritis, manakala bahagian kanannya pula berfikir secara kreatif.
Davidoff (1979), pula melihat pemikiran sebagai penggunaan simbol, gambar,
perkataan, pengamatan dan konsep. Melalui pemikiran, maklumat luar yang
diterima oleh deria akan ditafsirkan dengan penggunaan perkataan atau simbol
untuk membentuk konsep terhadap maklumat tersebut. Jadi dapat disimpulkan di
sini pemikiran ialah sesuatu yang kritis dan kreatif, seterusnya mampu
menghasilkan sesuatu yang bernas. Dalam karya agung, pemikiran bermaksud subjek
yang dibawa oleh pengarang. Justeru, dalam penelitian terhadap Gurindam 12 ini,
pemikiran merupakan idea dan pengalaman yang tekah dimantapkan bersama-sama
dengan imaginasi dan kreativiti untuk menjelmakan persoalan dan tema seterusnya
imaginasi dan kreativiti untuk menjelmakan pemikiran dan idealisme pengarang
dalam puisi tradisional ini.
1.4 Estetika Dan Kepengarangan
1.4.1 Estetika
Estetika berhubung dengan aspek
keindahan, iaitu yang terdapat pada struktur keindahan, iaitu pada struktur, pengolahan
dan teknik penulisan. Estetik atau keindahan adalah suatu sifat dan ciri
sastera yang terpenting. Perkataan sastera berasal daripada perkataan Sanskrit
yang merujuk kepada karya yang indah. Estetik ialah rasa keindahan,
keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta
penikmatan yang mempersonakan atau penglihatan yang memukau, yang dapat menawan
perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Keindahan ialah daya tarikan dalam penikmatan
karya sastera terhadap aspek susunan unsur struktur yang harmonis yang memiliki
perasaan, pemikiran dan sebagainya. Pengalaman keindahan ialah apabila kita
merasa kesan yang menarik, mengagumkan, menyedihkan atau yang memeranjatkan.
Kekuatan olahan beerti kekuatan teknik dan pencernaan pelbagai aspek dan
komponen yang membina sebuah karya. Teks yang unggul pula dapat menonjolkan
kekuatan dan keindahannya dari aspek caara pengarang memilih tema dan
persoalan, menghadirkan teknik yang menarik serta mencipta teks yang mempunyai
pembaharuan.
1.4.2 Kepengarangan
Kepengarangan pula ialah mekanisme
atau kaedah pengarang berkarya sehingga membentuk kekuatan dan jati diri
seorang pengarang. Kepengarangn dianalisis daripada aspek keperibadian yang
dicapai oleh pengarang. Keperibadian merupakan kemuncak kejayaan seserang
pengarang. Prinsip keperibadian merupakan klimaks dalam perjuangan seseorang
pengarang. Justeru, pengarang harus berusaha untuk membina teks yang unggul
dalam mencipta siat keperibadian masing-masing. Lazimnyam seseorang pengarang
akan berhadapan dengan beberapa tahap penulisannya. Oleh itu, pengarang perlu
mempunyai pengalaman artistic dan berharga yang akan mempengaruhi daya
kreativitinya. Pengalaman pengarang yang dimaksudkan diperoleh menerusi
pelbagai cara seperti bayangan, ingatan, kenangan, kutipan, pengaruh,
pembacaan, pemerhatian, pengamatan, kajian dan penyelidikan, serta apa-apa
sahaja unsur yang hadir termasuk yang bersifat konseptual dan kontekstual. Oleh
itu, pengumpulan bahan dalam aspek kehadiran penting kerana ia menjadi kekuatan
penulisan. Di samping itu, prinsip kehadiran mwngandungi tiga persoalan iaitu
apakah fakta-fakta yang hadir ? Dari manakah kehadirannya dalam teks dan
bagaimanakah fakta-fakta itu hadir dalam teks tersebut? Apakah kesan kepada
kehadiran fakta tersebut kepada teks dan khalayak pembaca ?
Proses pembinaan keperibadian
ataupun kepengarangan akan terbayang pada sifat dedikasi, keberanian, inovati
dan pelanggaran yang dilakukan. Pelanggaran yang dilakukan akan memperlihatkan
pertimbangan antara pengekalan dan perubahan sesuatu fakta dalam usaha
pengarang mencapai tahap keunggulan dalam karya yang dihasilkan.
2.0 ANALISIS KEKUATAN KARYA
GURINDAM 12
2.2 Aspek Kekuatan Karya
2.1.1 Falsafah
Bidang
utama falsafah yang digarap dalam gurindam 12 ini ialah dari segi etika yang
merangkumi moral, pendidikan dan pengajaran yang berorientasikan agama Islam.
Falsafah yang tinggi berkenaan Islam ini tlah diadun oleh Raja Ali Haji dengan
cukup sempurna dalam Gurindam 12. Oleh itu, aspek falsafah merupakan salah satu
elemen yang menjadi tonggak utama kepada kekuatan karya ini. Perincian tentang
falsafah-falsafah yang dimuatkan oleh pengarang dalam Gurindam 12 adalah
seperti yang dijelaskan berikut.
Falsafah yang terdapat disebalik
Gurindam 12 ialah nilai tanggunjawab seseorang umat manusia dalam melaksanakan
kewajipan kepada penciptanya. Sebagai umat islam, seseorang individu itu perlu
melaksanakan kewajipan yang diperintahkan sebagai seorang muslim untuk
membuktikan kepatuhannya terhadap perintah yang diberikan oleh Allah S.W.T.
Tanggungjawab yang dimaksudkan ialah seperti melaksanakan perkara yang
terkandung dalam rukun Islam dan rukun iman dengan penuh rasa ketakwaan.
Melaksanakan tanggungjawab kepada- NYA juga merupakan satu landasan untuk
mendapatkan kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat kelak. Kesempurnaan
hidup di dunia dari sudut jasmani dan rohani amat penting untuk mendapatkan
ketenangan hidup yang hakiki di dunia dan di akhirat kelak. Sebagai contoh :
Barang siapa meninggalkan sembahyang
Seperti rumah tiada bertiang.
Maksud
rangkap gurindam tersebut ialah sesiapa yang yang meniggalkan sembahyang,
amalan lain yang yang dikerjakannya tiada bernilai kerana sembahyang merupakan
tiang agama.
Sifat keperihatinan dalam menjaga
pancaindera yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T turut menjadi falsafah dalam
kajian teks Gurindam 12. Menjaga anggota pancaindera yang dianugerahkan
daripada perkara- pekara negatif merupakan satu kewajipan yang dipertanggunjawabkan
kepada umat manusia kerana pancaindera merupakan satu amanah yang terlalu
berharga daripada Ilahi kepada setiap individu. Dengan penjagaan anggota
pancaindera daripada perkara mungkar atau negatif seperti, berzina, mengumpat
atau menabur fitnah dan sebagainya turut membuktikan tahap keimanan dan
ketakwaan seseoarang itu kepada Ilahi.
Penggunaan pancaindera di atas landasan yang betul akan memberi pulangan
kebaikan kepada individu itu seperti akan memperolehi keberkatan daripada Allah
S.W.T, dan juga akan dipandang mulia oleh masyarakat serta terhindar daripada
dosa- dosa kecil atau besar. Sebagai
contohnya ialah:
Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.
Rangkap
gurindam tersebut menjelaskan bahawa setiap manusia perlu mengetahui dengan
lebih jelas setiap tindak tanduk yang dilakukan samaada memberi kebaikan atau
keburukan kepada diri sendiri dan orang di sekeliling.
Gurindam 12 turut menyajikan
falsafah tentang nilai budi dan akhlak mulia dalam kehidupan. Nilai budi yang
ditakrifkan dalam masyarakat melayu ialah nilai budi berbahasa, nilai budi
dalam tindakan dan tingkah laku dalam hidup bermasyarakat. Nilai- nilai murni
seperti ini sudah sebati dengan hidup masyarakat melayu kerana nilai- nilai ini
akan diterapkan dalam diri setiap individu sejak mereka kecil lagi. Masyarakat
boleh mengenali sikap atau tingkah laku dan juga latar belakang sesebuah
keluarga melalui nilai budi yang ditonjolkan oleh seseorang individu itu. Hal ini kerana ketinggian niali budi dalam
diri setiap individu akan mencerminkan tahap didikan agama yang diberikan
disamping ilmu yang ada pada mereka dan status kehidupan mereka dalam
masyarakat. Oleh hal yang demikian, seseorang individu itu perlu sentiasa
menonjolkan nilai budi yang tinggi untuk
tidak mendatangkan aib kepada diri sendiri, ahli keluarga dan seterusnya
masyarakat. Contoh kepentingan nilai budi dalam kehidupan ialah :
Jika hendak mengenal orang yang mulia,
Lihatlah kepada kelakuannya.
Di sini jelas menunjukkan bahawa
nilai budi seseorang akan mempengaruhi corak kehidupan dan harga diri mereka
dimata masyarakat dan turut nenggambarkan keperibadian seseorang individu itu.
Falsafah yang seterusnya ialah
tanggungjawab seseorang individu terhdap sesama insan. Setiap individu bukan
sahaja mempunyai tanggunjawab kepada Ilahi tapi turut mempunyai tanggunjawab
kepada sesama insan. Tanggungjawab yang dimaksudkan itu adalah seperti
tanggunjawab kepada ibu bapa, isteri atau suami, terhadap anak- anak dan juga
masyarakat. Melaksanakan tanggunjawab terhadap sesama insan terutama terhadap
kedua ibu bapa merupakan satu landasan untuk mendapat keberkatan hidup di dunia
dan di akhrirat kelak. Hal ini kerana setiap manusia tidak akan wujud tanpa
insan yang bergelar ibu dan bapa. Dalam agama Islam meletakkan kedudukan ibu
dan bapa di tempat yang tinggi. Hal ini dapat dibuktikan apabila ada salah
seorang sahabat Rasulullah s.a.w bertanya kepada baginda tentang perkara yang
paling disukai oleh Allah S.W.T. Maka Rasulullah s.a.w menjawab “ada tiga perkara yang disukai oleh Allah
S.W.T iaitu (1) Menjaga solat lima waktu sehari semalam (2) Berbakti kepada ibu
dan bapa dan (3) Berjihad di jalan Allah S.W.T.” Di sini jelas menunjukkan bahawa kedudukan
ibu bapa diletakkan di tempat yang tertinggi kerana Allah S.W.T. mengangkat darjat ibu bapa sebelum berjihad
di jalan Allah S.W.T. Selain itu
individu itu perlu menjaga keperluan mereka dengan insan yang lain di
sekeliling mereka kerana keperluan batiniah tidak akan lengkap tanpa suami atau
isteri, kepuasan hidup tidak akan dirasai tanpa mendengar gelak dan tawa anak-
anak dan hidup akan sunyi tanpa celoteh kawan- kawan dan masyarakat. Oleh itu
kita perlu memelihara dan mengharagai hubungan sesama insan tanpa perlu ada
sikap sombong dan angkuh. Contoh yang dapat diambil berdasarkan falsafah
terssebut yang terkandung dalam Gurindam 12 ialah :
Dengan bapa jangan durhaka,
Supaya Allah tidak murka .
Dengan ibu hendaklah hormat
Supaya badab dapat selamat.
Melalui
contoh yang diberikan jelaslah terbukti bahawa keharmonian hidup berkeluarga
amat dititiberatkan dalam Islam dan juga masyarakat.
Jika diambil kira maksud falsafah yang dinyatakan di atas,
jelas terbukti bahawa sememangnya aspek pemikiran dalam gurindam 12 telah
menjadi salah satu aspek yang menjadi tonggak kekuatan karya ini kerana
menerusi karyanya pengarang telah membuktikan masyarakat melayu juga mempunyai
daya keintelektualan dan daya kreatif yang tinggi dalam menyampaikan sesuatu maklumat atau
nasihat. Sebagai contohnya masyarakat
melayu menggunakan gurindam sebagai alat untuk menyampaikan pengajaran dan
peringatan kepada generasi yang akan datang. Dengan wujudnya falsafah dalam
gurindam yang dicipta oleh masyarakat melayu akan dapat menghakis tanggapan
yang mengatakan bahawa masyarakat melayu mempunyai daya pemikiran yang rendah.
2.1.2
Pemikiran
Raja Ali Haji, mempunyai beberapa
kelebihan tersendiri terutama dari aspek pengkaryaan dengan menghasilkan
sekitar 14 karya, bidang penulisan, pemikir dan konsep Islamisme dalam
penulisan. Paling ketara, elemen utama yang mewarnai dunia kepengarangannya
tidak dapat dipisahkan dari konsep dan landasan Islam yang begitu kukuh.
Pemikiran ini banyak ditemukan dalam karya agungnya, Gurindam 12.
Gurindam 12 mengandungi dua belas
fasal yang membincangkan pelbagai persoalan kehidupan manusia, sama ada
kehidupan di dunia, mahupun di akhirat. Antara persoalan yang terkandung dalam
puisi tersebut termasuklah mengenai akidah dan tasauf, syariat rukun Islam, kepentingan
akhlak, serta konsep pemerintahan. Setiap fasal dilihat berupaya menyentuh jiwa
kesedaran masyarakat, sekaligus memainkan peranan penting bagi membentuk nilai
keperibadian insan berlandaskan syariat Islam. Nilai-nilai Islam yang disusun
dan digarap dalam Gurindam 12, secara tidak langsung mencerminkan contoh insan
yang memiliki kualiti serta jati diri yang indah dan sempurna. Hal ini
membuktikan bahawa pemikiran yang digarap dalam puisi tradisional ini tidak
lain dan tidak bukan adalah terdiri daripada beberapa bentuk iaitu soal agama
Islam, kepentingan pendidikan, akhlak, akidah dan tasawuf, syariat rukun Islam,
serta tanggungjawab pemerintah.
Justeru, elemen pemikiran yang
berteraskan Islam dalam setiap aspek kehidupan yang cuba diketengahkan oleh
Raja Ali Haji dalam karya Islamisme berbentuk puisi tradisional ini sememangnya
juga berkait rapat dengan elemen falsafah dan seterusnya tidak dapat disangkal
menjadi pasangan serasi kepada elemen falsafah dalam mendasari Gurindam 12 ini
sebagai teras utama yang menjadi kekuatan karya ini. Hal ini dikatakan demikian
keran kedua-dua unsur ini saling berkaitan malahan koheren antara satu sama
lain. Pengarang bijak mengetengahkan pemikirannya tentang Islam dengan
menghubungkaitkan nilai Islam dalam setiap aspek kehidupan dan hal ini jelas
membuktikan bahawa pemikiran juga menjadi kekuatan kepada karya ini.
2.1.3 Estetika
Istilah
"keindahan" (indah) merupakan salah satu istilah pokok dalam sistem
estetika kesusasteraan Melayu. Konsep keindahan dalam tradisi dan budaya Melayu
menurut V.I. Braginsky (1994). Dia merumuskan terdapat tiga aspek yang dengan
terang dinyatakan dalam karya-karya sastera menerusi penggantian perkataan
"indah" dengan kata-kata yang seerti.Menurutnya, keindahan sesuatu
karya sastera dipercayai boleh mempengaruhi jiwa seseorang, mempunyai kuasa
penyembuh; tetapi kesan keindahan itu yang lebih penting dan lebih utama ialah
faedah (manfaat) yang terkandung di dalamnya.
Faedah ini selalu dihubungkan dengan
akal, manakala keindahan pula selalu dihubungkan dengan perasaan atau hati.
Keindahan dengan itu menimbulkan kesan psikologi tertentu, rasa tenang dan
nikmat bergantung pada keadaan atau persediaan jiwa seseorang. Aspek pertama,
bersangkut paut dengan asal usul keindahan, atau sumbernya. Pengertian
"indah" di sepadan secara tertentu dengan konsep kuasa Tuhan
(kekayaan Allah). Ia meliputi kekuasaan Allah mencipta sesuatu tidak terbatas.
Dan Allah juga suka kepada keindahan. Kekuatan karya yang bersangkut paut
dengan karya ini boleh dilihat menerusi mesej yang cuba disampaikan oleh
pengarang dalam Fasal 1 Gurindam 12
ini yang menjelaskan keindahan
penggunaan kata ma’rifat sebagai kata
kunci yang mendasari fasal utama Gurindam 12 ini. Kata ma’rifat berasal dari tasawuf yang bermaksud mengenal Tuhan dengan
hati. Konsep ma’rifat dalam Gurindam 12 adalah mengenal Allah, diri, dunia dan
akhirat seperti yang dimaksudkan dengan rangkap 2, baris dalam fasal 1 ini. Mengenal Allah adalah
melaksanakan suruhan dan perintahNya iaitu tidak
menyalah yang bermaksud pasrah seperti
yang terdapat dalam rangkap 3 fasal 1. Mengenal
diri disamakan dengan mengenal Tuhan seperti dalam rangkap 4 fasal 1.
Perkara ini bermaksud langkah awal dalam mengenal Tuhan adalah dengan terlebih
dahulu mengenali diri sendiri. Dalam rangkap 5 pula perkataan dunia disamakan
dengan barang yang terpedaya. Dunia bermaksud sesuatu yang tak bererti, dan hal
akhirat dalam baris ini dikontrakan dengan dunia. Dunia dikatakan sebagai
mudarat dalam rangkap 6 yang bermaksud membawa kerugian dan tak berguna.
Gambaran tentang dunia ini menyaami konsep zuhud dalam tasawuf. Dalam
mendekatkan diri kepada Tuhan, manusia mengabaikan kehidupan materialistik.
Cinta kepada kebendaan akan menghambat jalan menuju keredhaan Tuhan. Kecintaan
kepada Tuhan melebihi segalanya dan gambaran ini dijelaskan pula dalam Fasal 2
Gurindam 12.
Di samping itu, aspek kedua
berkaitan estetika Islam dalam Gurindam 12 ini membezakan keindahan mutlak
daripada keindahan fenomena (jamal lawan husn), dengan menggunakan perkataan
"elok" dan "indah" dalam karya sastera dan karangan tasawuf
Melayu. Justeru, percontohannya boleh ditemukan dalam Fasal 1, rangkap keenam
yang menjelaskan kehidupan di dunia yang hanya sementara dan akhirnya manusia
akan menemukan kehidupan kehidupan di akhirat jua yang lebih mustahak.
Aspek keindahan ketiga, estetik atau
keindahan tersembunyi, tetapi "bentuk", iaitu susunan kata yang baik,
makna yang berlapis-lapis akan menyerlahkan keindahan sehingga dapat dihayati.
Tanpa bentuk yang baik, yakni apabila dilahirkan dengan gaya ungkapan yang
tidak menarik, isi kandungan akan kehilangan daya tarikannya. Justeru, dalam
Gurindam 12 ini, pengarang taat kepada mekanisme dan pembinaan gurindam iaitu
dengan menghasilkan gurindam yang mematuhi syarat dan jawab. Syarat merupakan baris pertama
gurindam dan jawab merupakan baris kedua yang akan mengikuti baris syarat. Rima
akhirnya juga berbentuk a,a. Selain itu, bentuk estetika lain seperti anafora
juga digunakan secara konsisten dalam fasal 1, fasal 2, fasal 5, fasal 6, fasal
7,fasal 10, dan fasal 11. Di samping itu, perumpamaan, personafikasi, metafora,
sinkof juga diaplikasikan dengan menarik dalam gurindam ini. Pemilihan tema dan persoalan yang tepat juga
merupakan salah satu unsur estetika dalam gurindam ini iaitu sarat bertemakan
nasihat, pengajaran dan keagamaan. Gurindam 12 juga diolah gaya keindahan
ungkapan bahasa, kata-kata dan makna yang berlapis-lapis maknanya, seperti
gambaran penulis terhadap individu yang disamakan dengan syaitan dalam fasal
10. Sikap hemat dan kuat berguru dalam rangkap 6 dan 7 fasal 10 dipertentangkan
dengan syaitan. Sikap hemat adalah lawan kepada sikap boros. Hemat bermaksud
jimat, dan boros merupakan sikap yang tidak baik. Perkerjaan tidak baik
disamakan dengan syaitan. Kata hemat kemudiannya juga disamakan dengan sahabat.
Orang muda yang kuat berguru bermaksud orang muda yang rajin belajar,
dikontrakan dengan kata syaitan. Hal ini memaparkan makna yang berlapis lapis
yang cuba ditonjolkan oleh pengarang.
Dalam bidang puisi keindahan dan
estetik, estetika sesuatu karya itu dapat dikesan melalui keseimbangan bentuk
luaran dan dalaman. Isinya juga mengalami transformasi ke arah pembaharuan
nilai. Keindahannya, seimbang dalam nada, diksi, rima, ritma, matra suku kata,
asonansi, simile, merupakan elemen-elemen penting khususnya dalam karya sastera
khususnya puisi iaitu sajak. Selain itu, ada nilai falsafah yang sederhana,
kekuatan idea dan pemikiran serta kekuatan penguasaan bahasanya membawa dan
memilih gaya baharu. Jika ditinjau, hasil karya sastera iaitu gurindam
digunakan dalam masyarakat Melayu pada zaman lampau dan juga masih digunakan
pada masa kini. Ia meliputi bentuk komunikasi harian yang formal dan juga tidak
formal. Keunggulan dan keutuhan gurindam kekal sampai hari ini. Gurindam 12
merupakan sebuah puisi tradisonal yang baik , indah dan ada nilai estetika
sarat serta mempunyai nilai-nilai kehidupan masyarakat. Syarat pantun biasanya
menggunakan imej latar masyarakat Melayu. Manakala jawabnyaa pula mestilah
menyentuh seluruh kehidupan masyarakat, memberi pedoman kepada unsur kehidupan
dan alam persekitaran masa depan.
Begitu juga dengan gurindam, seloka
dan lain-lain. Semuanya mempunyai nilai estetika sama ada bertaraf tinggi atau
rendah. Nilai-nilai ini juga mestilah menyentuh seluruh kehidupan manusia yang
mengajar, mendidik dan membentuk peribadi manusia ke arah kebaikan. Menurut
pandangan Sidi Gazalba, seni sebagai penjelmaan rasa keindahan umumnya, rasa
keterharuan khususnya, untuk kesejahteraan hidup. Rasa ini disusun dan
dinyatakan oleh fikiran sehingga ia menjadi bentuk yang dapat disalurkan dan
dimiliki.. Dalam pengertian "menciptakan bentuk-bentuk yang menyenangkan
adalah tiap orang terlibat dengan kesenian dalam kehidupan sehari-hari".
Justeru, setiap karya yang dicipta mestilah meliputi keindahan dalaman isi,
keindahan alam fizikal, keindahan fenomena, keindahan dalaman, keindahan
luaran, keindahan mutlak dan keindahan rohani yang kesemuanya dapat
diseimbangkan dalam karya yang dicipta.
Begitu sukar dan payah setiap
pengkarya sastera menghasilkan karya yang baik disertai dengan nilai-nilai
keindahan dan estetik yang unggul. Kekuatan bahasa dan keindahan pengarang
menggunakan bahasa yang indah dan berkesan akal kekal dalam ingatan para
pembaca yang akhirnya memberikan teladan yang baik kepada mereka. Kepayahan ini
telah diterjemahkan dengan indah oleh pengarang sekaligus menjadikan karya
Gurindam 12 ini menjadi sebuah karya yang amat utuh dari aspek estetikanya
kerana meliputi estetika dalaman dan luaran serta keseluruhan aspek estetikan
yang lain.
2.1.4 Kepengarangan
Aspek
kepengarangan merupakan antara aspek yang paling mustahak dalam menarik minat
pembaca untuk mengikuti sesebuah karya, bahkan tidak keterlaluan untuk dikatakan
bahawa kepengarangan seseorang penulis itu telah menggambarkan perjalanan
karyanya. Justeru, bagi Gurindam 12, kekuatannya karya ini juga terletak pada
aspek kepengarangannya, yakni telah dikarang oleh pengarang yang tidak asing
lagi dalam dunia sastera Melayu iaitu Raja Ali Haji yang pastinya terkenal
dengan idealisme Islamnya dalam garapan setiap bidang karyanya.
Raja Ali Haji boleh merupakan
seorang tokoh karya agung yang telah banyak berjasa kepada dunia
penulisan.Beliau telah menulis banyak karya dalam pelbagai bidang seperti
bidang keagamaan, kesusasteraan, bahasa, sejarah dan ketatanegaraan. Penguasaan
beliau dalam pelbagai bidang ini adalah akibat daripada usaha beliau yang
belajar tanpa rasa jemu sejak kanak-kanak lagi.Perkara ini ditambah lagi dengan
pengalaman yang diperoleh ketika beliau mengikut bapanya, Raja Ahmad mengembara
ke pelbagai tempat.
Penguasaan beliau dalam pelbagai
bidang menjadikan beliau lebih kreatif dan bijak menghasilkan pelbagai karya
dalam pelbagai bidang. Beliau tidak seperti pengarang sebelumnya yang hanya
menghasilkan karya-karya berbentuk mitos. Antara alasan beliau menghasilkan
karya berdasarkan kepada pemerhatian sekeliling kerana beliau mahu masyarakat
mengambil pengajaran dan iktibar daripada kisah benar yang telah dihasilkan.
Karya yang telah dihasilkan oleh beliau berasaskan kepada ilmu pengetahuan yang
diperoleh sejak kecil sangat sesuai dijadikan panduan dan iktibar oleh
masyarakat masa ini dalam menjalani kehidupan seharian.
Raja Ali Haji merupakan seorang
tokoh karya agung yang telah banyak menerbitkan karya sendiri sama ada buku
tatabahasa, kamus serta syair. Beliau
dianggap sebagai seorang pujangga Melayu yang sangat terkemuka dalam sejarah
kesusasteraan Melayu tanah air.Setelah diangkat sebagai pujangga yang telah
terkenal dalam dunia kesusasteraan Melayu, beliau memiliki impian untuk
memperbaiki bangsa dan berharap agar bangsa Melayu maju di dunia dan akhirat
serta hidup dalam kemuafakatan serta berlandaskan hukum syariat.Impian beliau
ini banyak diluahkan melalui karyanya yang mana dapat dilihat bahawa kebanyakan
karya beliau adalah berkisarkan kepada ketatanegaraan dan keagamaan.Unsur
keagamaan ini amat utuh sekali dalam Gurindam 12 hasil garapannya.
Dalam hal ini, jelasnya, pendidikan
Islam tradisional yang diterima dari beberapa guru dan ulama di Riau serta
pendidikan informal dari keluarganya merupakan landasan penting kepada proses
berfikir Raja Ali Haji.. Ayahnya Raja Ahmad atau digelar juga Engku Haji Tua
memang seorang yang alim. Sudah tentu pada masa kecilnya, beliau belajar dengan
bapanya terlebih dahulu terutama bacaan al-Quran dan ilmu-ilmu fardu ain.
Kemudian baru diserahkan kepada guru-guru lain.Salah seorang dari mereka ialah
Haji Abdul Wahab yang berasal dari Minangkabau dan merupakan imam di Masjid
Penyengat. Beliau juga mengajarkan kitab fikah Mir'at-Tullab karya Syeikh Abdul
Rauf dari Acheh.
Di samping itu, dunia keislaman yang
mempengaruhi kepengarangan Raja Ali Haji juga banyak ditimba dari pendidikan
agama oleh guru-guru yang sering mengunjungi Penyengat seperti Syeikh Ahmad
Jibrati dan Habib Syeikh Syakaf. Menurut Prof. Abu Hassan, kedudukan latar
pendidikan ini menjadikan Raja Ali Haji seorang tokoh alim dan guru agama
terkenal di Penyengat, sekali gus guru agama kepada keluarga Yang DiPertuan
Muda Riau. Malah, beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai pujangga yang
berjaya mengetengahkan beberapa karya agung serta membantu membentuk peradaban
di dunia Melayu. Dengan kata lain, latar pendidikannya serta kehidupannya telah
memberi ruang untuk Raja Ali Haji menghasilkan beberapa karya dalam pelbagai
bidang seperti undang-undang, puisi, tatabahasa, salsilah Raja-raja Bugis,
Fikah, Tasauf, pentadbiran dan lain-lain. Namun, dalam memperkatakan tentang
kedudukan tokoh ini dalam membina korpus ilmu Melayu, Prof. Abu Hassan melihat
Raja Ali Haji beruntung oleh sikap toleransi pemerintah Belanda di kepulauan
Indonesia pada era tersebut. Belanda memberikan kelonggaran dan kebebasan
kepada penganut Islam untuk mengamalkan ibadah termasuk menunaikan fardu haji
serta aktiviti sosial seperti perkahwinan dan adat. Ruang yang terbuka ini
digunakan sepenuhnya oleh Raja Ali Haji untuk berkarya dan mengetengahkan
aspek-aspek pemikirannya terutama tasawuf yang diperlihatkan dalam Gurindam Dua
Belas ini. Tidak ketinggalan 'pemahamannya' yang mendalam terhadap organisasi
tarekat. Beliau adalah pengikut Tarekat Naqsyabandiah yang diterima dari Syeikh
Ismail al-Minangkabawi. Beliau juga merupakan seorang pengembang pemikiran
fikah yang dibawa oleh Syeikh Daud ke Penyengat sehingga karya-karya ulama
tersebut menjadi sumber rujukan terpenting. Raja Ali Haji menyebarkan ajaran
fikah ini dengan cara yang lebih menarik iaitu melalui bentuk puisi. Penyebaran
ini kurang menjemukan dan lebih lama terlekat di fikiran pendengar. Pemikiran
yang paling ketara ialah mengenai pemerintahan dan ketatanegaraan. Paling
menarik, meskipun mempunyai hubungan yang dekat dengan pegawai-pegawai Belanda
di Penyengat, beliau tidak pernah memuji Barat secara berlebihan seperti Abdullah
Munsyi. Raja Ali Haji tetap memandang tradisi Melayu dan Islam adalah yang
terbaik. Raja Ali Haji merupakan penulis pertama yang memberi definisi lengkap
mengenai gurindam. Istilah gurindam sebelum itu tidak memiliki ciri dan bentuk
yang khusus, sebaliknya hanya dianggap
sebagai ungkapan puisi biasa yang berbeza daripada pengucapan seharian.
Selain itu, beliau juga merupakan pengarang Melayu pertama yang mengaplikasikan
sistem pentarikhan ke dalam karya secara tepat dan jelas.
3.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya,
Gurindam 12 mempunyai mempunyai kedudukannya yang tersendiri. Meskipun dalam
bentuknya yang ringkas, kelebihan Gurindam 12 adalah terletak pada daya
pemikiran dan falsafahnya yang tinggi. Dalam ungkapan yang padat, Raja Ali Haji
masih mampu menggabungjalinkan unsur estetika luaran dan keindahan dalaman.
Istilah dan gaya bahasa yang digunapakai tidak bersifat lokal semata-mata,
sebaliknya turut dipengaruhi pengaruh dan susunan nahu luaran. Justeru,
keempat-empat aspek seperti falsafah, pemikiran, estetika dan kepengarangan
merupakan elemen terpenting dalam menjadi kekuatan Gurindam 12 sebagai sebuah
karya yang sentiasa relevan dengan senario masyarakat.
SENARAI RUJUKAN
Arba’ie
Sujud. (2008). Sastera Melayu suatu
pengantar. Tinta Press Sdn Bhd: Kuala Lumpur.
Awang
Sariyan. (2007). Perkembangan falsafah
bahasa dan pemikiran dalam linguistik. Penerbit
Sasbadi Sdn. Bhd: Kuala Lumpur.
Davidoff.
(1979). Introduction to psychology.
Pennsylvania State University: McGraw-Hill.
Hashim
Hj. Musa. (2001). Falsafah, logik, teori
nilai dan etika Melayu: Suatu pengenalan. Akademi
Pengajian Melayu: Kuala Lumpur..
Hashim
Awang. (1985). Teman pelajar kesusasteraan.
Fajar Bakti Sdn Bhd: Petaling Jaya.
Harun Mat Piah
et al. (2006). Kesusasteraan Melayu tradisional.
Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala
Lumpur.
Harun Mat Piah
et.al. (1989). Puisi Melayu tradisional.
Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Ismail
Hamid.(1989). Perkembangan kesusasteraan
Melayu lama. Longman: Kuala Lumpur.
Md.
Ali Bachik. (2003). Khazanah puisi klasik
Melayu. ILADAM dan PERZIM: Melaka.
Mohd
Taib Osman. (1979). Warisan puisi Melayu.
Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Raja
Ali Haji (2002). Gurindam 12: The twelve
aphorism terjemahan Aswandi Ariyoes. Yayasan
Khazanah Melayu: Kepulauan Riau.
Shalleh Saidi.
(1969). Melayu klasik: khazanah sastera
sejarah Indonesia lama. Universiti Michigan:
Michigan.
Suroso.
(1999). Ikhtisar seni sastra. Solo:
Tiga Serangkai. Indonesia.
Sutan Takdir
Alisjahbana. (1971). Puisi lama (kumpulan
dan komentar tentang puisi Indonesia kelasik).
Dian Rakyat: Jakarta.
Sutan Takdir
Alisjahbana. (1954). Museum Sebagai alat
pendidikan zaman baru. Pustaka Rakyat:
Jakarta.
Zainal Abidin
Ahmad (Za’ba). (1957). Pelita bahasa
Melayu penggal 3. Dewan Bahasa dan Pustaka:
Kuala Lumpur.
Zainal Abidin
Ahmad (Za’ba). (1962). Ilmu mengarang
Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala
Lumpur.
V.I Braginsky. (1994).
Erti keindahan dan keindahan erti dalam
kesusasteraan Melayu klasik.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
LAMPIRAN
Gurindam 12
Gurindam I
Barang
siapa tiada memegang agama,
sekali-kali
tiada boleh dibilangkan nama.
Barang
siapa mengenal yang empat,
maka
ia itulah orang ma'rifat
Barang
siapa mengenal Allah,
suruh
dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang
siapa mengenal diri,
maka
telah mengenal akan Tuhan yang bahari.
Barang
siapa mengenal dunia,
tahulah
ia barang yang terpedaya.
Barang
siapa mengenal akhirat,
tahulah
ia dunia melarat.
Gurindam II
Barang
siapa mengenal yang tersebut,
tahulah
ia makna takut.
Barang
siapa meninggalkan sembahyang,
seperti
rumah tiada bertiang.
Barang
siapa meninggalkan puasa,
tidaklah
mendapat dua temasya.
Barang
siapa meninggalkan zakat,
tiadalah
hartanya beroleh berkat.
Barang
siapa meninggalkan haji,
tiadalah
ia menyempurnakan janji.
Gurindam III
Apabila
terpelihara mata,
sedikitlah
cita-cita.
Apabila
terpelihara kuping,
khabar
yang jahat tiadalah damping.
Apabila
terpelihara lidah,
nescaya
dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh
engkau memeliharakan tangan,
daripada
segala berat dan ringan.
Apabila
perut terlalu penuh,
keluarlah
fi'il yang tiada senonoh.
Anggota
tengah hendaklah ingat,
di
situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah
peliharakan kaki,
daripada
berjalan yang membawa rugi.
Gurindam IV
Hati
kerajaan di dalam tubuh,
jikalau
zalim segala anggota pun roboh.
Apabila
dengki sudah bertanah,
datanglah
daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat
dan memuji hendaklah fikir,
di
situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan
marah jangan dibela,
nanti
hilang akal di kepala.
Jika
sedikitpun berbuat bohong,
boleh
diumpamakan mulutnya itu pekong.
Tanda
orang yang amat celaka,
aib
dirinya tiada ia sangka.
Bakhil
jangan diberi singgah,
itupun
perampok yang amat gagah.
Barang
siapa yang sudah besar,
janganlah
kelakuannya membuat kasar.
Barang
siapa perkataan kotor,
mulutnya
itu umpama ketur.
Di
mana tahu salah diri,
jika
tidak orang lain yang berperi.
Gurindam V
Jika
hendak mengenal orang berbangsa,
lihat
kepada budi dan bahasa,
Jika
hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat
memeliharakan yang sia-sia.
Jika
hendak mengenal orang mulia,
lihatlah
kepada kelakuan dia.
Jika
hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya
dan belajar tiadalah jemu.
Jika
hendak mengenal orang yang berakal,
di
dalam dunia mengambil bekal.
Jika
hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat
pada ketika bercampur dengan orang ramai.
Gurindam VI
Cahari
olehmu akan sahabat,
yang
boleh dijadikan obat.
Cahari
olehmu akan guru,
yang
boleh tahukan tiap seteru.
Cahari
olehmu akan isteri,
yang
boleh menyerahkan diri.
Cahari
olehmu akan kawan,
pilih
segala orang yang setiawan.
Cahari
olehmu akan abdi,
yang
ada baik sedikit budi,
Gurindam VII
Apabila
banyak berkata-kata,
di
situlah jalan masuk dusta.
Apabila
banyak berlebih-lebihan suka,
itulah
tanda hampir duka.
Apabila
kita kurang siasat,
itulah
tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila
anak tidak dilatih,
jika
besar bapanya letih.
Apabila
banyak mencela orang,
itulah
tanda dirinya kurang.
Apabila
orang yang banyak tidur,
sia-sia
sahajalah umur.
Apabila
mendengar akan khabar,
menerimanya
itu hendaklah sabar.
Apabila
menengar akan aduan,
membicarakannya
itu hendaklah cemburuan.
Apabila
perkataan yang lemah-lembut,
lekaslah
segala orang mengikut.
Apabila
perkataan yang amat kasar,
lekaslah
orang sekalian gusar.
Apabila
pekerjaan yang amat benar,
tidak
boleh orang berbuat onar.
Gurindam VIII
Barang
siapa khianat akan dirinya,
apalagi
kepada lainnya.
Kepada
dirinya ia aniaya,
orang
itu jangan engkau percaya.
Lidah
yang suka membenarkan dirinya,
daripada
yang lain dapat kesalahannya.
Daripada
memuji diri hendaklah sabar,
biar
pada orang datangnya khabar.
Orang
yang suka menampakkan jasa,
setengah
daripada syirik mengaku kuasa.
Kejahatan
diri sembunyikan,
kebaikan
diri diamkan.
Keaiban
orang jangan dibuka,
keaiban
diri hendaklah sangka.
Gurindam IX
Tahu
pekerjaan tak baik,
tetapi
dikerjakan,
bukannya
manusia yaituiah syaitan.
Kejahatan
seorang perempuan tua,
itulah
iblis punya penggawa.
Kepada
segaia hamba-hamba raja,
di
situlah syaitan tempatnya manja.
Kebanyakan
orang yang muda-muda,
di
situlah syaitan tempat berkuda.
Perkumpulan
laki-laki dengan perempuan,
di
situlah syaitan punya jamuan.
Adapun
orang tua yang hemat,
syaitan
tak suka membuat sahabat
Jika
orang muda kuat berguru,
dengan
syaitan jadi berseteru.
Gurindam X
Dengan
bapa jangan durhaka,
supaya
Allah tidak murka.
Dengan
ibu hendaklah hormat,
supaya
badan dapat selamat.
Dengan
anak janganlah lalai,
supaya
boleh naik ke tengah balai.
Dengan
isteri dan gundik janganlah alpa,
supaya
kemaluan jangan menerpa.
Dengan
kawan hendaklah adil supaya tangannya jadi kafill.
Gurindam XI
Hendaklah
berjasa,
kepada
yang sebangsa.
Hendaklah
jadi kepala,
buang
perangai yang cela.
Hendaklah
memegang amanat,
buanglah
khianat.
Hendak
marah,
dahulukan
hajat.
Hendak
dimulai,
jangan
melalui.
Hendak
ramai,
murahkan
perangai.
Gurindam XII
Raja
muafakat dengan menteri,
seperti
kebun berpagarkan duri.
Betul
hati kepada raja,
tanda
jadi sebarang kerja.
Hukum
adil atas rakyat,
tanda
raja beroleh anayat.
Kasihan
orang yang berilmu,
tanda
rahmat atas dirimu.
Hormat
akan orang yang pandai,
tanda
mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan
dirinya mati,
itulah
asal berbuat bakti.
Akhirat
itu terlalu nyata,
kepada
hati yang tidak buta.
No comments:
Post a Comment